Wednesday, April 22, 2009
Πολιτεία 1
Semakin saya membaca Plato semakin kuat dorongan untuk menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Tetapi saya tidak mahu membuat terjemahan dari terjemahan Inggeris. Saya ingin membuatnya terus dari bahasa Yunani. Plato bukan sekadar seorang filasuf besar. Beliau juga seorang penulis agong. Prosanya dalah prosa Yunani yang terbaik. Gaya dan laras bahasanya gemilang. Saya mahu berkongsi apa yang saya baca dengan peminat falsafah dan sastera. Maka saya menghubungi kembali Dr. Lettink untuk membaca Politeia di bawah bimbangan beliau.
Hari ini saya selesai membaca tiga ayat pertama. Begini terjemahannya. Ini adalah terjemahan pertama. Saya akan memperbaikinya dari masa ke masa. Dan saya juga akan membuat komentar untuk memperkenalkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam dialog dan memberikan penjelasan tentang isu yang terlibat.
"Semalam saya (iaitu Sokrates) pergi ke Peiraia bersama Glaukonos putera Aristonos untuk menyembah kepada sang dewi, dan juga untuk menyaksikan pesta yang diperbuat untuk pertama kalinya. Persembahan orang tempatan memang cantik, namun pertunjukan yang dikirimkan oleh orang Trakes tidak kurang menarik. Setelah selesai kami bergerak untuk pulang ke bandar. Polemakus putera Kephalus apabila melihat dari jauh kami bersiap untuk pulang menyuruh abdinya berlari kepada kami meminta kami untuk menanti beliau."
Tuesday, February 10, 2009
Tun Perak Inggeris 1

Saturday, February 07, 2009
Menyembah Mohon Derhaka 2

Tun Perak adalah bendahara kesultanan Melaka yang teragung dan dibawah pemerintahanan Melaka menjadi sebuah empayar yang kaya dan makmur. Tun Perak adalah arkitek kepada pax Malacca satu keteraturan serantau, perdagangan bebas dan kehidupan sosial yang amat kosmopolitan. Di situ juga bermula sistem perundangan dan peraturan, dan tanpa system perundangan dan peraturan ini Melaka tidak boleh wujud sebagai empayar yang makmur dan pusat perdagangan Asia.
Suatu ketika dahulu satu generasi muda mengagung-agungkan penderhakaan Hang Jebat yang berakhir kepada porak peranda di Melaka. Jika kita ingin mengambil perbanding dengan dinamika pergelutan politik dan sosial dizaman Revolusi Perancis kita boleh mengolongkan Hang Jebat sebagai seorang Jacobin, golongan radikal dalam revolusi tersebut yang idealismenya dinodai oleh Reign of Terror yang mereka hasilkan.
Revolusi Perancis selain dari satu pemberontakan sosial dan politik untuk menggantikan rejim lama, Ancien Regime, juga satu revolusi yang didorong oleh idea-idea dari Pencerahan Eropah Benua. Dalam kemelut yang dihasilkan oleh revolusi tersebut berlaku satu perdebatan agong intelektual, antara Edmund Burke dengan Thomas Paine.
Edmund Burke adalah seorang reformis yang amat sedar dengan pemerintahan kuku besi sistem raja multlak. L’etat cest moi- Beta adalah Negara, kata raja Perancis Louis XIV. Maka apabila rakyat bangun menuntut perubahan dan keadilan Edmud Burke pada mulanya mengalu-alukan perkembangan di Perancis tersebut. Tetapi apabila beliau mula melihat revolusi itu telah menghasilkan kekacauan dan terdapat segolong elit England yang ingin memproposikan revolusi tersebut maka dia mengangkat pena dan menulis karya agong Reflections on the Revolution in France. Renungan itu disambut dan disanggah oleh Thomas Paine The Rights of Man yang juga satu karya besar.
Friday, February 06, 2009
Menyembah Mohon Derhaka 1
Nizar dititah undur sebagai menteri besar dan menteri besar itu "menyembah mohon derhaka," satu ungkapan yang oxymoron kerana pantang Melayu menderhaka kepada raja. Derhaka dalam erti kata yang mudah adalah tidak patuh kepada raja. Dalam konteks sistem politik dimana sultan memiliki kuasa mutlak derhaka adalah satu perlanggaran yang berat.
Tetapi kita tidak hidup dizaman rex non potest peccare - raja tidak melakukan kesalahan, titah raja adalah hukum dan sentiasa benar. Tetapi kini raja diikat oleh perlembagaan. Nizar melakukan sesuatu yang terdapat dalam peruntukan perlembagaan, negeri Perak, perlembagaan yang sama mengikat Sultan Perak. Maka Nizar tidak derhaka. Tetapi Nizar bercakap dengan Sultan, maka laras bahasanya perlulah mengikut bahasa pertuturan rakyat bercakap dengan Sultan.
Namun betulkah pantang Melayu menderhaka kepada raja?Tun Perak melakukan tindakan yang menderhaka kerana tidak membunuh Hang Tuah seperti yang diarahkan oleh sultan. Hang Tuah difitnah melakukan hubungan sulit dengan salah seorang gundik raja dan bendahara tersebut tahu laksamana itu tidak bersalah dan beliau tahu yang salah adalah sultan yang menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Tindakan bendahara menyembunyikan Hang Tuah tidak diketahui sultan sehinggalah baginda memerlukan laksamana tersebut untuk menewaskan Hang Jebat. Sekiranya sultan tahu bendahara tidak melaksanakan hukuman mati tersebut sebelum Hang Jebat memberontak sudah pasti bendahara akan diistihar derhaka dan dihukum mati.
Tetapi tradisi persuratan Melayu tidak mencemoh Tun Perak sebagai derhaka. Bahkan beliau melihat keingkarannya kepada perintah sultan sebagai satu tindakan yang berani dan adil. Berani kerana melakukan sesuatu yang boleh menggadai nyawanya sendiri, dan adil kerana tidak bersekongkol dengan kesilapan dan kezaliman yang dilakukan oleh sultan. Tetapi Tun Perak hidup dizamannya dan dalam sistem zaman itu. Dia tidak boleh "menyembah mohon derhaka".
Thursday, February 05, 2009
Pyrrhic victory BN di Perak

Renung juga dialog antara Abu Sufyan dengan Herkules, gabenor Rom di Syria. Herkules menerima surat dari Nabi Muhammad s.a.w. Herkules memanggil Abu Sufyan untuk mendapat maklumat tentang agama yang gerakan yang dibawa oleh Rasulullah.
Monday, January 26, 2009
Melayu yang emo 2

Minggu lalu kami meraikan penulis handalan Ian Buruma makan tengah di Madam Kwan, Jalan Telawi. Eddin hadhir dengan belangkasnya Pauline Fan. Pauline, penterjemah Kant dan Lessing, baru pulang dari Berlin, dan sebelum itu Moskow, membawa ole-oleh dalam bahasa Russia - sekumpulan cerpen Tolstoi. Kata dedikasi untuk saya Pauline menulisnya dalam bahasa pengarang Perang dan Damai. Orang mengatakan bahasa Russia indah sekali. Tetapi saya berpendapat Tolstoi, Herzen, Dostoyeski dan Pushkin yang menjadikan bahasa itu indah. Mustaqeem sampai dulu dan berbual-bual dengan Buruma tentang pengalaman pendidikannya di sekolah agama dan Universiti Mu'tah, Jordan. Wan Hamidi, penganalisis politik yang tajam dan propagandis separuh masa untuk DAP, datang dengan Occidentalism untuk ditanda tangani oleh penulisnya. Eekmal yang bersungguh-sungguh merancang makan tengahari itu tidak dapat datang di saat-saat akhir. Dia terlalu setia dengan Anwar Ibrahim dan politikus Melayu seantero dunia itu memanggilnya.
Kami berenam duduk di balkoni Madam Kwan, memandang ke bawah pada Coffee Bean yang di seberang jalan. "Bagaimana wawancara dengan Anwar Ibrahim?" "Amat bagus," jawab penulis kelahiran belanda itu. " "Tetapi dia digugat oleh tuntutan-tuntutan yang bertentangan dari Pas dan DAP," tambah Buruma. Eddin mencelah: "Memang sukar berada di tengah-tengah. Dan hanya dia seorang yang berani melakukannya. Dan bagaimana dia melakukannya adalah suatu yang amat menarik untuk diamati."
"Mengapa Melayu selalu emo dalam berpolitik? selalu didominasi oleh isu-isu sentimental," Buruma menanyakan persoalan yang fundamental, ingin menelah zat bangsa Melayu. "Itu," saya menawarkan cadangan, "kamu perlu baca puisi agong Camoes." Selepas makan tengahari Buruma dihantar oleh Eddin ke Puduraya untuk mengambil bas ke Melaka. Jika penulis berkelana itu dapat mencari punca kepada 'Malaios namarandos' kita akan membacanya dalam New Yorker.
Friday, January 16, 2009
Babad Sepupu Kita


