Seminggu yang lalu saya menghadiri satu program yang saya kira boleh mencerminkan zietgeist, atau semangat masa, setidak-tidaknya di Malaysia. Kenapa tidak, peserta datang dari seluruh pelusuk negara, berbas-bas datang dari Singapura, hingga penganjur terpaksa menolak sejumlah perserta disaat-saat akhir kerana Dewan Syed Nasir di Dewan Bahasa dan Pustaka tidak boleh menampungnya lagi.
Tajuk program itu pada saat-saat akhir ditukarkan dari "Bahaya Islam Liberal" kepada "Wacana Islam Liberal." Saya hanya datang sebagai peserta biasa untuk mengikuti perkembangan tentang apa yang dilihat sebagai satu ancaman baru terhadap Islam dan mendengar hujah-hujah ahli panel. Tetapi nama saya terseret, mula dari bawah, di kalangan peserta yang menanya soalan, hingga ke atas, disebut oleh ahli panel. Kerena perbincangan begitu menarik saya turut menanyakan soalan.
Dalam ulasan secara tidak langsung terhadap soalan saya Dr. Asri Zainal Abidin, seorang pendakwah muda yang karismatik, dan saya kira berfahaman salafi, membuat satu cabaran yang membuat saya befikir hingga sekarang. Saya cuba melupakannya, tetapi kerap kali muncul dalam benak saya, bila memandu dan bila saya mencabut rumput di laman rumah. Cabaran beliau adalah begini: sekiranya golongan liberal menuntut ulamak untuk memahami pemikiran moden, falsafah dan sebagainya mengapakah mereka (golongan liberal) tidak pula berusaha untuk menguasai ilmu-ilmu Islam.
Cabaran beliau saya lihat bertalian dengan suatu hujah yang saya sering dengar. Hujahnya begini: sekiranya dalam ilmu sains, kejuruteraan dan kedoktoran ada kepakaran, dalam agama begitu juga. Maksudnya mereka yang tidak terlatih dalam bidang agama tidak seharusnya bercakap tentang agama. Hujah ini lemah sekali dan saya harap tidak ulang kembali kerana qias antara ilmu sains dengan ilmu agama tidak boleh digunakan kerana sains tidak mengenal otoriti. Sesiapa saja boleh menggugatnya. Ketika Einstein menghantar tulisannya dalam jurnal Annalen der Physik dalam tahun 1905 dan membuat ledakan dalam fizik teori beliau ketika itu hanya seorang kerani di pejabat paten Swiss yang berumur 26 tahun. Beliau ketika itu belum punya sebarang otoriti dalam bidang fizik.
Tetapi cabaran Dr. Asri punya kekuatannya sendiri dan boleh dilihat secara berpisahan dengan hujah untuk mengeluarkan golongan bukan pakar membuat pandangan tentang agama. Sekiranya golongan liberal merasakan Islam itu penting kerana Islam telah memasukki ruang awam maka penguasaan kepada ilmu-ilmu Islam adalah penting. Jika tidak hujahnya tidak akan boleh bersaing dalam pasaran idea tentang Islam. Dalam persaingan idea dan tarikan mereka yang berhujah bersandarkan ilmu sudah pasti akan lebih dapat menarik perhatian khalayak. Mereka yang tidak dapat mengluarkan mengikut pertanggunjawaban ilmu sudah pasti akan kecundangan dalam persaingan untuk meraih pengaruh.
Almarhum Muhammad Natsir pernah mengeluarkan ungkapan "mengulamakkan intelektual dan mengintelektualkan ulamak" sebagai agenda umat untuk menamatkan belahan antara ulamak dan intelektual. Mungkan agenda ini boleh mengendurkan perbenturan dan merapatkan jurang ilmu dan keintelektualan antara dua kumpulan. Ulamak yang sudah menjadi seorang intelektual, mereka yang telah meneliti Michel Foucault, Jurgen Habermas, Richard Rorty dan Jacques Derrida sudah pasti akan lebih mantap dan bersedia untuk menghadapai segala serangan intelektual. Dan intelektual yang melabur masa untuk meneliti tafsir, mentelaah karya-karya al-Ashaari, Ibn Sina, al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Arabi , Suhrawardi dan Mulla Sadra sudah tentu akan lebih persuasif dari mereka yang berpuas hati sekadar menyelongkar pemikiran pasca modern, deconstruction, pemikiran pasca kolonial, semiotik dan sebagainya.
Saya belum meneliti secara menyeluruh tulisan-tulisan golongan yang dikatakan Islam liberal untuk membuat satu pendirian yang saksama. Dan tulisan-tulisan golongan ini belum lagi mencapai kemantapan intelektual, kebanyakkannya dalam bentuk esei dan tulisan kewartawanan. Ramai yang menyanggah Islam liberal semata-mata tidak senang dengan perkaitan "liberal" dikaitkan dengan Islam. Kata mereka Islam itu Islam, tak perlu label. Ramai juga taifah-taifah liberal atau yang perasan liberal yang bergopoh membela Islam liberal tanpa terlebih dahulu meneliti doktrin dan sumber idea
gerakan tersebut.
Apa yang saya terkesan dari pembacaan yang terbatas tentang Islam liberal adalah pemikiran mereka banyak dipengaruhi oleh Barat. Nah disini saya perlu buat penjelasan. Barat yang mana satu kerana Barat tidak satu. Immanuel Kant dan Rene Descartes adalah pemikir Barat. Tetapi St. Augustine dan St. Thomas Aquinas juga pemikir Barat. Kedua kumpulan ini mewakili dua dunia pemikiran yang berlainan. Barat yang mempengaruhi pemikiran Islam liberal adalah arus pemikiran dekonstruksi dan pasca moden yang mendominasi ilmu-ilmu kemanusiaan di universiti-universiti Amerika. Dan krisis dan perang intelektual yang berlaku di jabatan-jabatan kajian kemanusiaan di Amerika banyak berpunca dari pengimportan idea-idea dari Eropah khususnya Peranchis.
Barangsiapa yang hidup dengan pedang akan mati dengan pedang. Dekonstruksi yang dijadikan strategi untuk mendekonsruksikan teks, termasuk teks-teks mukaddas, juga boleh didekonstruksikan. Alat atau strategi yang digunakan untuk membongkar dan mengkudungkan tradisi Islam punya kelemahan dalaman. Malangnya mereka yang memperolehi sikap kritis yang eksrim terhadap warisan sendiri, dan sikap kritis ini mereka kutip dari Barat, tidak mengambil sikap yang kritis terhadap pemikiran dan strategi yang mereka ambil dari Barat. Ironisnya adalah sikap kritis tersebut muncil dari sikap taklid, atau seronok-seronok ikut, dengan aliran-aliran pasca moden dan dekonstruksi.
Nah sikap taklid liberal ini mengingatkan saya kepada apa yang ditulis oleh al-Ghazali dalam pengantar Tahafut al-Falasifah. Golongan intelektual di zaman al-Ghazali, pengikut falsafah Yunani dan filasuf seperti al-Farabi dan Ibn Sina, memperlecehkan syariat dan agama. Dan sikap angkuh mereka ini adalah semata-mata bertaklid membabi buta bila "mendengar nama besar seperti Sokrates, Hippokrates, Plato dan Aristotle." Kita gantikan saja nama-nama yang disebut oleh al-Ghazali dengan Foucault, Derrida, Rorty, Habermas maka kita akan merasakan Hujjatul Islam itu bercakap untuk generasi muda zaman ini.
Tuesday, May 31, 2005
Sunday, May 29, 2005
Astora yang gopoh II
Jadi Tahafut bermakna jatuh atau gugur satu persatu. Ini sunggguh bertepatan dengan kandungan buku tersebut dimana al-Ghazali membentang 20 pendirian ahli falsafah dan menyanggahnya satu persatu, mendedahkan percanggah dan kelemahan pendirian dan hujah mereka. Michael E. Marmura yang menterjemahkan (1997) karya agong ini dengan tajuk The Incoherence of the Philosophers. Dalam pengantarnya Marmura turut mengulas tentang makna perkataan tahafut . Perkataan ini telah diterjemahkan dalam bahasa Barat dengan pelbagai cara. Destructio dalam bahasa Latin, "inconsistency," disintegration," "collapse," dan di kalangan sarjana moden "incoherence" lebih kerap digunakan. Makna yang umum adalah "keruntuhan" atau "berantakan" kadang-kadang dengan nuansa meluru gopoh dan berbondong-bondong menuju kehancuran, ke api neraka. Ia juga membawa maksud meluru dan berkerumun ke dalam pertempuran. Baru-baru ini saya tereserempak terjemahan Tahafut al-Falasifah dalam bahasa Indonesia dengan tajuk Kerancuan Filsafat. "Rancu" bermakna tidak teratur, campur baur, campur aduk, kacau (dalam konteks bahasa.) Sayang terjemahan ini membawa kekeliruan baru bila menterjemahkan falasifah dengan "filsafat", padahal ia bermaksud ahli-ahli falsafah atau para filasuf.
Pendirian filasafat al-Farabi dan Ibn Sina bukan tentang polong, jembalang, pelesit atau langsuir yang boleh disebut sebagai "karut-marut". Doktrin filsafat mereka adalah mengenai metafizik, kosmologi dan tentang Tuhan. Semuanya berkaitan tentang akidah dan tentang apa yang difahami atau ditafsiri dari wahyu. Justeru isu-isu yang ditimbulkan oleh golongan filasuf merupakan persoalan yang begitu penting al-Ghazali, sebelum membuat sanggahan, membaca semua karya mereka. Sebelum menulis Tahafut al-Falasifah pemikir tersebut menulis Maqasid al-Falasifah , yang bermaksud tujuan ahli falsafah, di mana beliau membentang idea-idea, instrumen and strategi intelektual para filasuf secara objektif. Al-Ghazali tidak menghentam dengan semborono seperti yang banyak berlaku hari ini. Al-Ghazali menyanggah dengan kefahaman yang mendalam. Ini menyebabkan mereka yang tidak bersetuju dengan al-Ghazali sekalipun memperolehi menfaat yang besar dari sanggahan beliau..... Bersambung

Saturday, May 28, 2005
Astora yang gopoh
Seorang kawan yang mengikuti tulisan-tulisan saya pernah mengatakan bahawa pemikiran saya mirip pemikiran Astora Jabat. Saya tidak dapat memberi ulasan kerana saya tidak mengikuti tulisan-tulisan Astora secara teliti. Sekali sekala saya terbaca juga dan saya tidak menyukainya kerana pada pandangan saya Astora secara sengaja mencari kontroversi. Kontroversi tidak semestinya salah, bahkan ada fungsi dalam kehidupan intelektual. Tetapi tulisan-tulisan beliau ada kecenderungan untuk menimbulkan kejengkelan di kalangan pembaca yang tidak sealiran.
Mungkin ini sekadar cita rasa yang subjektif. Tetapi yang paling tidak saya senangi adalah apabila beliau menulis tentang perkara-perkara yang serius tetapi tidak diiringi dengan pertanggunjawaban ilmu. Ini saya tanggapi dalam tulisan terbaru beliau dalam majalah Al-Islam keluaran Jun 2005. Majalah ini beliau pimpin sendiri dan bercogankatakan "Penyuluh Pemikiran Agama Anda." Tetapi tulisan beliau dalam keluaran ini "Ulama Mengkafirkan Ulama: contoh Imam al-Ghazali" lebih banyak membawa kegelapan dari cahaya.
Dalam rencana ini Astora menterjemahkan tajuk karya besar al-Ghazali Tahafut al-Falasifah sebagai Karut-Marut Para Ahli Falsafah. Al-Ghazali adalah seorang pemikir besar dan tidak menghabiskan masa beliau dengan persoalan "karut-marut". Dan dia juga menulis dengan menggunakan bahasa dan istilah yang tepat. "Karut-marut" adalah perkara-perkara yang tidak masuk akal, tidak punya hujah dan begitu mudah dipatahkan oleh akal rasional. Al-Ghazali tidak menyanggah idea-idea lemah atau remeh.
Yang menjadikan al-Ghazali besar dan diberikan gelajaran Hujjatul Islam adalah kerana beliau menyanggah idea-idea filasuf ulung seperti Ibn Sina dan al-Farabi. Kedua tokoh ini bukan pemikir separuh masak. Mereka adalah pendiri sistem filsafat yang mengkagumkan. Justeru itu pemikiran beliau tidak sahaja mempengaruh dunia Islam tetapi juga dunia Barat.
Apakah sebenarnya makna perkataan tahafut yang diterjemahkan oleh Astora sebagai "karut-marut. " Akar kata tahafut adalah hafata. Ibn Manzur dalam kamus agongnya Lisan al-Arab menyebut perkataan ini bekaitan dengan al-haftu yang bermaksud: tasaaqatu al-syaiu qit'atan ba'da qit'atin kama yahtifu althalju wa razaza. Bermaksud, jatuh sesuatu sebahagian demi sebahagian seperti gugurnya salji dan hujan renyai.
Ibn Manzur juga mengutip hadis yang berbunyi: yatahaafatun fi al-nar ai yatasaaqatun, yang bermasud: mereka jatuh ke dalam api, yatahaafatun sama makna dengan yatasaaqatun iaitu mereka jatuh. Tahafut , tambah Ibn Manzur lagi, memberi kotonasi sesuatu yang keji..... bersambung

Subscribe to:
Posts (Atom)