Sunday, January 29, 2006
frederich nizechiche (sic!)
Dia meninggal di fajar abad ke-20, dan gila sepuluh tahun akhir hayatnya mungkin kerana diserang siplis. Kononya orang yang sakit siplis boleh mendalat lonjakan ilham. Ini berlaku pada Nietzsche. Kesihatannya runcing tetapi di menulis: "Saya baru sahaja melihat diriku dalam cermin. Aku tidak pernah kelihatan seperti sekarang ini. Girang, bersemangat dan kelihatan 10 tahun lebih muda. Inilah masaku untuk menuai."
Antara tulisannya adalah Ecce Homo , tajuk itu adalah dalam bahasa Latin yang bermaksud: Saksikanlah manusia itu! Tajuk kecil tulisan itu adalah: "Bagaimana kamu boleh menjadi kamu yang sebenar." Antara bab-bab dalam buku tersebut adalah: "Mengapa saya sangat bijak"; "Mengapa saya sangat pandai"; "Mengapa saya menulis buku-buku yang sangat bagus." Amacam, gila tak gila?
Jasad Umat & Darah Khulafa 1
Rasulullah s.a.w wafat pada hari Isnin di bulan Rabi Awwal di tahun 11 hijrah. Tetapi ada perselisihan di hari Isnin yang mana satu. Baginda wafat dengan tidak meninggalkan wasiat siapakah yang akan menjadi wakil beliau (khalifah) untuk menjaga urusan umat yang baru terbentuk. Inilah pandangan majoriti yang dipertikaikan oleh puak Syiah. Dalam Tarikh al-rusul wal muluk al-Tabari memasukkan laporan ini dari Ibn Abbas: Beberapa hari sebelum baginda wafat dan dalam keadaan sakit kuat baginda meminta sesuatu untuk menulis agar umatnya tidak sesat selepas ini (atuni aktuba kitaaban la tadhallu ba’di
Al-Tabari juga melaporkan tentang Ibn Abbas menangis dengan air mata mengalir dipipinya bagaikan rantaian permata kerana mengingatkan para sahabat yang ingkar dengan permintaan Rasulullah: “Hari Khamis, ah! Hari Khamis! Rasulullah meminta ‘ Bawakan aku papan (lawh) dan dakwat, atau tulang bahu (katif) dan dakwat agar aku boleh menulis untuk kamu wasiat (kitabaan) supaya kamu tidak sesat selepas ini.’ Tetapi para sahabat menyangka Rasulullah meracau (yahjur) .”
Menurut Ibn Abbas Rasulullah meninggalkan tiga wasiat. Sabda baginda: “Usir musyrikin dari Jazirah Arab, beri hadiah kepada delegasi yang datang seperti yang aku lakukan.” Tetapi Ibn Abbas mendiamkan diri tentang wasiat ketiga. Dia mengatakan dia lupa.
Apakah wasiat ketiga itu?
Bahasa Malaysia?
Thursday, January 26, 2006
Lautan Cerita 1
Kata yang empunya cerita:
Sauti, sang pendita yang mendalami isi kandungan kitab-kitab Purana, pada suatu hari menghampiri hutan Naisima, tempat dimana pendita Saunaka bertapa selama 12 tahun. Hadhir bersama sang petapa adalah sebilangan muni. Muni? Itu adalah gelaran dalam bahasa sanksrit kepada mereka bijak dan mengetahui rahasia di balik tabir. Sang Buddha juga dipanggil Syakyamuni, iaitu muni dari bangsa Syakya.
Setelah duduk dan hilang letih dari perjalanan yang jauh Sauti ditanya: “Dari mana tuan datang, bagaimana tuan menghabiskan masa, ceritakan kepada kami. Segala-galanya.”
Jawab Sauti: “Aku datang sari upacara korban ular raja Janamejaya dimana kisah-kisah menakjubkan dari lautan cerita Mahabharata, yang disusun dan ditenun oleh Krishna-Dwaipayana yang juga dikenali sebagai Vyasa, dikhabarkan. Cerita-cerita ini dikhabarkan oleh murid Krishna-Dwaipayana yang bernama Vaisampayana. Dan aku juga mengembara dan berkelana dinegeri bergelar Samantapancaka. Di loka inilah berlakunya perang besar antara keturunan Kuru dan Pandu. Perang yang maha dahsyat. Tiada yang tidak terlibat. Segala pembesar berpecah memasuki salah satu dari dua bala tentera yang akan saling berbunuhan. Dan juga raja-raja berhampiran.”
Apakah tatkala Arjuna, panglima perang Pandawa dengan busur panah saktinya yang bernama Ghandiva, membunuh abang sulungnya Karna yang mengepalai bala tentera Kurawa, ketika itu juga Hektor rebah dipenggal Achilles, atau Achilles tumbang apabila tumitnya ditembusi anak panah yang ditembak oleh Paris? Wallahualam!
Namun yang empunya cerita menyebut perang besar Pandawa-Kurawa berlaku dipenghujung zaman yang dinamakan Dwapa Yoga. Umur dunia terbahagi kepada empat yuga – Treta Yuga, Dwapara Yuga dan Kali Yuga. Dalam tulisannya Rene Guenon (1886-1951), penulis metafizik Perancis yang memasukki tarikat Sadhaliah, menetap di Kaherah dan dikenali dengan nama Shaikh Abdul Wahid Yahya), mengatakan bahawa empat yuga membentuk satu Manvantara , empat belas Manvantara membentuk satu Kalpa , inilah keseluruhan umur dunia. Tetapi Frithjof Schuon (1907-1998), iaitu Shaikh Isa Nuruddin Ahmad, murid kepada Shaikh Ahmad Mustafa al-Alawi, menjelaskan bahawa pandangan Guenon tentang konsepsi masa India adalah terbatas. Menurut Manava-Dharma-Shastra dan beberapa kitab Purana, kata Schuon, empat Yuga membentuk satu Mahayuga, seribu Mahayuga membentuk satu Kalpa; tujuh puluh satu Mahayuga membentuk satu Manvantara, dan empat belas Manvantara membentuk satu Kalpa yang juga sama dengan seribu Mahayuga.
Maka konsepsi masa
Wednesday, January 25, 2006
Little Wilson and Big God
Mata adalah alat bagi kita melihat. Tetapi mata, malangnya, tidak dapat melihat dirinya sendiri. Ini yang dikatakan oleh Casca kepada Brutus tatkala ingin menghasutnya menyertai konspirasi untuk membunuh Ceaser. "Mata hanya dapat melihat dirinya melalui cermin. " Pada Casca Brutus tidak mengenal potensi yang ada pada dirinya, iaitu untuk mengepali pemberontakkan menjatuhkan Ceaser yang telah mengangkat dirinya menjadi diktator. "Biar aku menjadi cermin dirimu," kata Casca.
Pandangan orang terhadap diri kita ibarat cermin. Kita boleh belajar. Maka masyarakat kita (dalam konteks ini Melayu) boleh mengenal susuk-susuk dirinya apa yang dikatakan oleh orang lain. Apa yang orang Cina kata tentang orang Melayu? Dalam dokumen-dokumen Dinasti Ming terdapat pandangan kuasa besar Asia abad ke-15 tersebut terhadap orang Melaka yang dipimpin oleh Melayu. Kemudian datang Portugis. Orang Portugis bercakap tentang orang Melayu. Dari orang Portugis kita dapat tahu bahawa makna perkataan "Melayu" adalah "orang yang lari." Selepas itu Belanda, dan kemudian Inggeris.
Pandangan yang terdapat dalam teks-teks asing terdapat orang tempatan telah menjadi politik kesusasteraan atau kritikan teks yang sarat dengan pedebatan ideologi. Saya akan kutip satu teks yang menarik, memang sungguh menarik. Mereka yang bersekolah orang putih mungkin ramai yang telah membaca, atau setidak-tidaknya mengetahui novel-novel Anthony Burgess. Tiga novelnya tentang Malaya diterbitkan dijilidkan sekali menjadi Malayan Trilogy. Satu dari tajuk novel tersebut , The Enemy in the Blanket , adalah terjemahan dari ungkapan Melayu "musuh dalam selimut."
Dalam jilid pertama otobiografinya yang bertajuk Little Wilson and Big God Burgess mengatakan dia datang ke Malaya untuk mengajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar tahun 1957. "... the federal capital Kuala Lumpur, meaning Muddy Estuary but interpreted by Adre Gide, impressed by the sexual laxness of the city, as Kouala l'impure'.
Tentang tukang masaknya: "Yusof was also the name of the cook boy who came to work for us. He was homosexual but far from effeminate. He had been in and out of the hands of the police for various small thefts, and police medical examinations disclosed a zakar or hak or pesawat or jantan or kalam or 'urat or butoh or ayok-ayutan and a pair of buah pelir or buah peler or keleper or bodek or telor (there is no end to the number of Malay terms for the genitals) bigger than any in Kuala Kangsar.
Tukang
Tuesday, January 24, 2006
Republik Akal III
Asap tebal naik ke langit, melepasi bukit dan gunung, asap menjadi awan dan awan kemudian menjadi jin. Mulutnya besar seperti gua dan giginya sebesar batu, dan nafasnya mengeluarkan asap dan api. Apabila transformasinya sempurna jin membuka mata dan matanya merah seperti saga. Jin mengucap dua kalimah syahadah: La ilaha il Allah, Sulaiman Rasulullah.
Sang nelayan yang menggigil ketakutan tetapi juga menempek marah. "Jin, kau sesat. Kita sekarang hidup di akhir zaman. Ini bukan lagi zaman Nabi Sulaiman. Kita semua umat Nabi Muhammad. Syahadah kau tidak boleh diterima."
Jin menyambar sang nelayan. "Aku akan bunuh kau. Tetapi aku beri kau pilihan macam mana kau mahu mati."
"Janganlah begitu jin," jawab nelayan yang berada dalam gengaman jin. "Kau patut berterima kasih dengan aku, bukan mencabut nyawa aku, aku yang membebaskan kau keluar dari cangkir."
"Betul aku terhutang budi kepada kamu nelayan. Kalau tidak kerana kamu aku tidak tahu berapa lama lagi aku terpaksa bertapa dalam cangkir sempit itu. Tetapi aku telah bersumpah, dan sumpah itu terpaksa aku tunaikan."
"Sumpah apa? Ceritakanlah."
"Ceritanya panjang," jawab jin sambil mengeluh dan menarik nafas panjang.
"Panjang pun tak apa, aku sanggup dengar."
Jin pun duduk dan bersila di atas pantai. Mendengar ombak dan ditiup angin lembut. Sang nelayan dilepaskan. Dan sang nelayan tidak teringat untuk lari. Dia juga duduk bersila didepan jin. "Cerita ini tentu sedap, kalau aku lari aku tak tahu cerita jin, dari mana asalnya dan bagaimana boleh dipenjara dalam cangkir yang ditutup dengan mohor Nabi Sulaiman."
"Sembilan ratus tahun yang lalu."
"Sembilan ratus tahun yang lalu?"
"Ya sembilan ratus tahun yang lalu, di zaman Nabi Sulaiman menjadi raja. Aku adalah seorang jin yang nakal."
.... bersanmbung

