Wednesday, June 28, 2006

Apa ceritanya dengan Anwar Ibrahim 3.0?

Seorang bertanya persoalan ini di dalam Anwar Ibrahim 3.0:
Semasa drama paling glamour DSAI berlangsung, saya baru melepasi peringkat sekolah. Saya betul2 mula mengenali DSAI di akhir versi 2.0 DSAI. Nothing much to say berbanding mereka yang lebih tua dari saya yang mungkin hidup sejak zaman versi 1.0 DSAI. Saya dilatih supaya tidak taksub/mengagungkan/mengidolakan(name what ever term) sesiapa melainkan ilmu/kepimpinan yang ada kepada seseorang. Saya mengkagumi ilmu/kepimpinan/siasah yang ada pada DSAI. Saya ingin bertanya, apakah major changes dari versi 2.0 dan 3.0 DSAI selain yang boleh didapati dalam media perdana. Jika satu program(software) bertukar versi maka akan ada satu log file yg menyatakan perbubahan2 yang berlaku. Sudilah kiranya didetailkan perbezaan tersebut.
Sudah lebih setahun rakan-rakan Anwar Ibrahim mencadangkan beliau membuat blognya sendiri. Kami ketika itu masih di Amerika, tepatnya di Herndon yang jauhnya 40 minit dengan kereta dari Washington D.C. Gaya dan ghairah cakapnya saya merasakan beliau memang kepinginkan blognya sendiri. Saya ketika itu sudah jadi blogger, tetapi baru blogger hangat-hangat tahi ayam. Buat dua tiga posting lepas itu berhibernasi selama enam bulan. Skunk di Herndon pun tidak berhibernasi sebegitu lama dimusin sejuk. Namun saya merasakan angan-angan AI itu tidak akan berhasil. Blog tidak sama dengan website. Website boleh diusahakan oleh orang lain. Tetapi blog adalah interaksi tanpa perantaraan antara si empunya diri dengan individu khalayaknya dan interaksi ini diperhatikan oleh pengunjung-pengunjung lain.
Kemudian saya pulang ke Kuala Lumpur, tiga bulan lalu. Rupa-rupanya udara Kuala Lumpur lebih meransang. Maka saya menjadi blogger yang aktif. Saya masuk blog orang, orang masuk blog saya. Saya bawa kawan-kawan saya masuk blog orang, orang bawa kawan-kawannya masuk blog saya. Saya masuk blog orang muda, orang muda masuk blog orang tua. Saya cuit orang, orang cuit saya. Saya kata orang, orang kata saya balik. Satu blogger muda kata saya buta HTML. Saya belajar alif-ba-ta HTML. Cukup sampai jim, tak sampai ya. Dalam lawat melawati blog ini saya bertemu kawan lama yang telah terpisah selama suku abad. Dan dia seorang aficionado ruang siber. Darinya saya mempelajari satu semi satu creative destructions yang berlaku siling berganti di dunia maya. Dia juga bertanya: "Kenapa Anwar Ibrahim tidak buka blog?" Saya memberikan penjelasan dan dia mengerti. Kemudian blog kawan itu memperkenalkan "podcasting." Dan saya belajar buat eksperimen "podcasting." Dan berjaya. Maka saya meninggalkan beberapa blogger-blogger muda beberapa tahun cahaya di belakang. Tetapi lebih penting dari itu podcasting membuka kemungkinan Anwar Ibrahim membuka blognya sendiri. Maksudnya menyampaikan mesej dan menjawab soalan melalui podcasting. Maka lahirlah Anwar Ibrahim 3.0. Kemudian response mulai datang. Dan ada yang membawa beberapa karung soalan. Dia menjawab melalui email dan jawapan itu diuploadkan oleh seorang sukarelawan pentadbir. Soalan datang, dia jawab lagi. Saya tengok makin rancak. Semalam di beritahu pagi pagi di buka blog, tengok komen, jawab komen. Dia juga mencuri masuk blog orang lain. Wah, nampaknya Anwar Ibrahim sudah syok main blog. Blogger muda, siaplah korang!
Tetapi kenapa dinamakan Anwar Ibrahim 3.0?

"Jangan ikut Mahathir ke lubang cacing"

Ayat di atas saya curi dari Azmin Ali. Dan tentang peristiwa yang sama saya menerima sms dari seorang rakan intelektual dan penyair. Dia ngamok laksana Megat Seri Rama berang dan melontarkan tombak ke Sultan Mahmud yang kemudiannya menyebabkan baginda mangkat di atas julang. "PAS memang tak ada malu. Mengejikan dan akan backfire." Dia seorang penyokong pembangkang yang rasional. Kebenciannya pada Mahathir banyak dan telinga saya mungkin menanah mendengar leterannya. Tetapi pada sang penyair itu jenayah Mahathir yang tak terampun adalah kerana "institutionlizing mediocrity." Bagaimana saya bisa memelayukan ungkapan itu?

Monday, June 26, 2006

Saya orang liberal, bukan Islam liberal 5


Semasa membuat penghakimannya Lord Mansfield, ketua hakim kepada the King's Bench, berkata bahawa institusi perhambaan tidak mempunyai sebarang justifikasi, baik dari segi moral mahupun politik. Ianya dicipta dan diteruskan melalui undang-undang positif, iaitu undang-undang bikinan manusia. Dan undang-undang tersebut diteruskan jauh selepas punca undang-undang tersebut dicipta terpadam dari ingatan manusia. "Perhambaan tidak boleh dibenarkan oleh undang-undang England dan si hitam ini mesti dibebaskan." Penghakiman Lord Mansfied tersebut merupakan batu tanda dalam sejarah undang-undang, namun ianya bukanlah suatu yang original. Kebencian terhadap institusi kehakiman sudah menjadi pendapat awam. Hanya mereka yang berkepentingan, seperti mereka yang memiliki ladang yang menggunakan hamba di Carribean, mempertahankan institusi tersebut.
Kempen untuk menghapuskan perdagangan hamba bertambah rancak dan berjalan sehingga berjaya meluluskan Abolition of Slave Trade Act dalam tahun 1807. Setiap kapal milik rakyat British akan didenda jika didapati membawa hamba dengan denda sebanyak £100 bagi setiap orang hamba. Akta itu bertujuan untuk menghapuskan perdagangan hamba disemua jajahan empayar British. Abad ke-19 merupakan puncak kepada pengucapan idea liberalisme kelasik dengan pelbagai bentuk kekangan sosial dan ekonomi diasak dan didesak untuk dihapuskan. Antara wahaca pemikiran liberal yang penting dizaman tersebut adalah majalah Westminster Review yang diasaskan dalam tahun 1823 oleh Jeremy Bentham dan James Mill. Mereka yang terlibat dalam majalah tersebut kemudiannya dikenali sebagai "phisophical radicals" dan "utilitarians" dengan slogan etika kebahagian tertinggi untuk jumlah terbanyak. Dengan pesekitaran intelektual seperti ini maka institusi perhambaan tidak mempunyak tempatnya. Maka tidak mengherankan Slavery Abolition Act diluluskan dalam tahun 1833 dan setahun kemudia semua hamba dalam Empayar British dibebaskan.
Apabila perjanjian Pangkor dimeterai antara pihak British dengan kerajaan Perak undang-undang pembebasan hamba telah dikuatkuasakan selama empat dekad oleh pihak British ke seluruh empayarnya. Maka tidak hairanlah mengapa antara tindakan awal residen pertama J.W.W Birch adalah untuk mengharamkan perhambaan di Perak. Perlaksanaan hukum liberal ini mengugat sumber pendapatan lumayan mereka yang terlibat dalam perdagangan manusia di negeri Melayu tersebut. Datuk Maharajalela adalah seorang pembesar Perak yang satu-satunya sumber pendapat lumayan beliau adalah hasil dari mencolek orang-orang Asli dan menjual mereka sebagai hamba. Beliau berang dengan undang-undang baru tersebut. Maka beliau berkomplot dengan peniaga-peniaga hamba di Pasir Salak dan membunuh residen tersebut ketika mandi di sungai. Seingat saya semasa mempelajari sejarah di sekolah Datuk Maharajalela dipersembahkan sebagai pejuang bangsa, tidak pernah dimaklumkan fakta bahawa beliau juga seorang pencolek dan penjual hamba. Dan hari ini cercaan terhadap liberalisme juga datangnya dari mufti negeri yang suatu masa dulu sebahagian pembesarnya mewah dengan menjual Bani Adam.
Gambar: Tepat Birch dibunuh oleh komplot pedagang-pedagang hamba Perak.

Thursday, June 22, 2006

Rujukan di dalam jamban

Semasa menulis dalam posting yang lalu saya ingin memberikan rujukan yang lebih khusus tentang Melaka sebagai tempat Cina membeli hamba-hamba dari Afrika. Saya ingin merujuk kepada buku Paul Wheatley Geographical Notes on some Commodities involved in Sung Maritime Trade yang diterbitkan oleh JMBRAS 1961. Tetapi buku tersebut 'hilang'. Saya selongkar timbunan buku-buku di tempat saya membaca di rumah, di tempat saya sangka melihat dan menyelaknya baru-baru ini. Tidak terjumpa. Saya yakin ia di pejabat. Maka saya selongkar buku-buku dipejabat. Gagal lagi. Sebentar tadi saya masuk bilek air untuk mandi. Dalam kamar kecil itu ada sedikit perpustakaan untuk bacaan ketika menyahut seruah alam. Nah rujukan itu disitu, terhimpit antara Archeology of Knowledge (Michel Foucault) dan Genghis Khan: Conqueror of the World (Leo de Hartog).

Saya orang liberal, bukan Islam liberal 4


Maka mereka yang mencemoh liberalisme harus sedar dan perlu lebih teliti tentang apa yang mereka cuba serang dan perlekehkan. Kita yang hidup hari ini menikmati pelbagai kebebasan dan kebebasan itu kita nikmati tanpa berfikir dua kali. Dan pelbagai kebebasan itu wujud hari ini adalah hasil dari perjuangan ratusan tahun, dan perjuangan itu ada pasang surutnya. Ambil sahaja institusi perhambaan yang wujud dalam semua tamadun, termasuk tamadun rantau ini. Selepas runtuhnya Srivijaya di abad ke 14 Melaka muncul sebagai kuasa miritim rantau ini dan pelabuhan menjadi pusat persinggahan yang menghubungkan Afrika dengan Cina. Meskipun Melaka cukup kaya namum tamadunnya baru muncul dan tidak cukup tinggi maka tidak ada rekod semasa yang tinggal dari kesultanan Melaka yang boleh digali dan memungkinkan kita untuk mencipta gambaran kehidupan masyarakat ketika itu. Tetap tamadun Cina tatkala kemunculan Melaka sudah berumur kira-kira dua ribu tahun. Maka sistem menyimpan rekod rasmi sudah menjadi amalan tradisi dan kemestian pemerintahan. Antara rekod yang disimpan adalah rekod perdagangan antara Melaka dengan China yang ketika itu dibawa Dinasti Ming dan antara barang-barang yang diimport oleh Cina dari Melaka adalah hamba-hamba dari Afrika. Dan perdagangan manusia ini berterus tanpa disoalkan oleh sesiapa. Abdullah Munsyi menyaksikan sendiri hamba-hamba dijual di pelabuhan Singapura. Dan penghapusan institusi perhambaan itu adalah buah dari perjuangan liberal.

Dalam tahun 1749 seorang pegawai kastam pegawai kastam Amerika membeli seorang hamba muda dari Afrika yang bernama Somersett di Virginia dan membawanya berlayar ke England. Faham liberal ketika itu sudah merebak luas, bukan lagi terbatas dalam bidang politik tetapi telah mamasukki bidang sosial. Amalan-amalan yang sebelum itu dianggap alami mula dipersoalkan, bahkan ditentang. Antara institusi sosial yang diwarisi dari zaman purbakala yang disoal adalah perhambaan. Liberalisme mencetuskan gerakan penghapusan perhambaan. Di England Somersett bergaul dengan aktivis anti perhambaan, dia dikristiankan dan dalam majlis pengkristianan dia diberi nama James. Dalam tahun 1771 dia lari, tuannya menawarkan hadiah bagi mereka yang dapat menangkap James, akhirnya hamba tersebut ditangkap. James sudah berada di atas kapal yang menuju ke Jamaica untuk dijual apabila keluarga angkat yang mengkristian beliau menyedarinya. Mereka bergegas ke mahkamah untuk mendapat habeas corpus menuntut kapten kapal membawa James ke mahkamah. Ini dilakukan. Dan di mahkamah James menuntut kebebasan dan dia disokong oleh aktivis-aktivis anti perhambaan. Di pihak yang lain, tuan nya disokong oleh tuan-tuan punya ladang di West Indies yang sistem perladangan mereka bergandung kepada institusi perhambaan. Dalam pembicaraan tersebut Lord Mansfied membuat landmark decision.

Tuesday, June 20, 2006

Saya orang liberal, bukan Islam liberal 3

Dalam sejarah pertumbuhannya liberalisme adalah konsep politik, satu perjuangan untuk menghapuskan pemerintahan kuku besi dengan membataskan kuasa mutlak raja. Maka John Locke menulis Two Treatises on Government untuk memberikan justifikasi filsafat kepada Glorious Revolution 1688 di England yang menghasilkan salah satu dokumen terpenting dalam sejarah perjuangan manusia menuntut kebebasan iaitu Bill of Rights. Karya Locke mulanya diterbitkan secara rahsia, tanpa menggunakan namanya, dan merupakan serangan terbuka kepada teori divine right of kings yang mendakwa Tuhan sendiri yang memberikan hak kepada raja-raja untuk memerintah, makanya rakyat tidak berhak untuk menyoal, menggugat , apalagi memberontak.

Monday, June 19, 2006

Saya orang liberal, bukan Islam liberal 2

"Siapakah yang begitu hina sehingga ingin menjadi hamba?" Shakespeare meletakkan soalan ini ke dalam mulut Brutus, menyoal rakyat Rom yang berhimpun di pasar setelah Ceaser dibunuh kerana nafsunya terhadap kuasa begitu besar dan ingin menjadi diktator. Mereka yang menyoal kebebasan atau mencurigai kebebasan, atau kalau berkuasa mahu menyekat kebebasan orang lain, harus menjawab soalan yang diciptakan oleh pendita agong itu. Shakespeare menanyakan soalan ini diabad ke-17, dan diabad yang sama juga John Locke merumuskan teori kebebasan politik, hak rakyat untuk memberontak melawan kezaliman, dan pemerintahan seharusnya mendapat restu rakyat.
Bibit-bibit idea kebebasan ada di mana-mana, dalam mana-mana tamadun, justeru kerana tiada manusia yang ingin menjadi hamba. Dizaman Yunani purba idea kebebasan tidak diungkapkan oleh Plato atau Aristotle. Ianya diungkapkan oleh negarawan Perikles dalam pidatonya menghormati perwira-perwira Athen yang gugur di medan perang, pidato yang mengilhamkan ucapan Abraham Lincoln di tanah perkuburan Gettysburg yang juga merupakan medan pertemburan perang saudara yang paling sengit dengan jumlah korban yang paling besar. Dan perang saudara Amerika itu adalah diatas persoalan penghapusan perhambaan.
Di dalam Islam idea kebebasan in diungkapkan dalam khutbah perpisahan Rasulullah di Padang Arafat, tentang kekudusan nyawa dan harta. Sayangnya bibit idea kebebasan ini tidak dikembangkan dalam tamadun Islam. Ianya kekal sebagai benih. Tetapi di tangan John Locke ianya bercambah menjadi liberalisme politik.

Saya jolok sarang tabuan lagi!

Sekiranya Daulah Uthmaniyyah itu dianggap sebagai satu sistem khilafah maka sistem tersebut berakhir sebagai akibat langsung dari Perang Dunia Pertama. Daulah Uthmaniyyah, nama rasminya Devlet-i Âliye-i Osmâniyye;, adalah satu sistem empayar. Dalam mana-mana sistem empayar musuh utamanya adalah nasionalisme. Dan nasionalisme yang menghancurkan Daulah Uthmaniyyah adalah nasionalisme Arab. Baca seterusnya cacatan awal saya tentang Wafatnya Khilafah dalam Ummanonline.com.

Sunday, June 18, 2006

Komplot yang sebenar



Tamatlah saya menterjemahkan dalam Aficionado rencana Eric Conan Les secrets d'une manipulation antisemite yang diterbitkan oleh majalah L'Express pada 16 November 1999. Mungkin telah lebih dua puluh tahun saya terbaca bahawa dokumen yang bernama Protocols of the Elders of the Learned Zion yang selalu dikemukakan sebagai bukti wujudnya satu konspirasi Yahudi untuk menaklukki dunia adalah satu dokumen palsu yang direka oleh polis rahsia Tzar Russia. Maklumat tersebut saya baca dari salah sebuah buku Maxine Rodinson, seorang ahli sejarah, sosiologi dan 'public intellectual' Perancis. Dia seorang Marxis dan pernah menganggotai Parti Komunis Perancis. Di ambang Perang Arab-Israel 1967 beliau, meskipun seorang Yahudi, bersikap dingin terhadap Israel. Dia sentiasa curiga terhadap Zionisme. Pada Rodinson mereka yang menyokong Israel secara terbuka adalah pendukung penjajahan yang kesiangan. Beliau bagaimanapun menerima hakikat bahawa Israel the wujud dan tidak boleh dihapuskan. Sebagai intelektual kiri dia menyokong perjuangan rakyat Palestin sebagai satu bangsa dan hak bangsa itu untuk menentukan nasibnya. Maka dalam tahun 1968 dia bersama Jacques Berque membentuk satu kumpulan sarjana untuk mengkaji pembentukan negara Palestin.
Setelah penemuan tersebut pembacaan saya terus menambah keyakinan tentang fakta kepalsuan Protokol. Tiada ahli sejarah dan sarjana sirius yang saya baca cuba menyanggah fakta pemalsuan itu atau mengemukakan hujah untuk mempertahankan kesahihannya. Namun pengetahuan saya tentang perkara ini masih bersifat umum iaitu setakat mengetahui pemalsuan tersebut dilakukan oleh Okhrana, polis rahsia Russia semasa di bawah rejim Tzar. Hanya setelah membaca novel grafik The Plot saya mengetahui dengan terperinci cerita lengkap tentang risalah palsu yang paling berpengaruh di zaman moden.

Friday, June 16, 2006

Saya orang liberal, bukan Islam liberal 1

Beberapa minggu lalu saya di Jordan menghadiri persidangan yang bertajuk bombastik. Kalau diMelayukan, kurang lebih, berbunyi begini: Kearah Wacana Madani Islam Demokratik. Saya sampai di lapangan terbang antarabangsa Aliah, Amman, dari Kaherah. Dan tanpa saya menyedari dalam pesawat yang saya naiki ada dua orang anggota Ikhwan Musliman yang akan mengikuti persidangan yang sama. Namun kalau kami sudah berkenalan di lapangan terbang Kaherah dan duduk bersebelahan dalam pesawat tidak juga akan membawa perbedaan yang besar. Inggeris Ikhwan Mesir itu tidak banyak, dan Arab saya pula sedikit, untuk melangkaui perbualan kecil dan memasukki perbincangan konsepsual.
Bas yang disediakan pengganjur, setelah ditunggu selama satu jam, membawa kami ke hotel di mana kami menginap sepanjang seminar tiga hari tersebut. Dalam bas sudah ada peserta-peserta dari beberapa negara lain. Yang paling saya ingati adalah seorang mullah yang berjubah dan berserban hitam. "Pastinya dia Syiah," bisik hatiku. Hari esoknya, bila ditanya oleh seorang peserta dari India tentang isyarat serban hitamnya mullah itu menjawab "keturunan Bani Hasyim." Walaupun saya letih kerana perjalanan dan menunggu saya rancak berbual dalam bas. Dan saya berbual, kadang-kadang dengan suara yang sedikit tinggi kerana diransang keghairahan, dengan bahasa sambal belacan. Dan lawan bual saya adalah Dr. Syafie Anwar dari Jakarta dan Yati dari Sisters in Islam. Dr. Syafie memperkenalkan dirinya sebagai waki International Centre for the Study of Islam and Pluralism.
"Nampaknya kita sahaja yang bukan Arab," kata saya. Salah, ada seorang dari India, professor sosiologi dari Universiti Jawarharlal Nehru. Namun saya hanya mengetahui fakta ini pada esok harinya. "Kita kena ingat kita mewakili rantau yang mempunyai jumlah umat yang paling besar,"kata saya sambil ketawa. "Jangan kita benarkan arab-arab ini mendominasi perbincangan." "Betul itu pak," akur Dr. Syafie.
"Arab-arab ini baru ingin berwacana, bahkan baru "kearah" wacana, tentang demokrasi. Kita sudah mempunyai demokrasi Muslim yang paling besar." Dr. Syafie makin gembira. Tiada diplomasi yang lebih baik dari pujian. Itulah yang saya pelajari dari Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim bila memuji, orang yang dipujinya akan cair.
"Apa jenis masyarakat madani yang mahu kita pelajari dari dunia Arab? Dari Ikhwan? Apa besarnya Ikhwan dibandingkan dengan Nahdatul Ulamak yang anggotanya mencecah 40 juta, dan Muhammadiyah yang berjumlah 30 juta?"
"Apa hebatnya Hasan al-Banna berbanding dengan M. Natsir yang mampu menggabungkan seluruh partai politik Indonesia di bawah Majlis Syura Muslimin Indonesia (Mahsyumi)? Hasan al-Banna tidak pernah mempunyai pendirian yang jelas tentang demokrasi. Natsir adalah wira demokrasi beperlembagaan (constitutional democracy) sejak Indonesia merdeka hinggalah Masyumi dibubarkan oleh Sukarno yang menjadi diktator atas nama demokrasi terpimpin." Soalan dan pernyataan ini mengalir keluar dari otak Melayuku. Katakan itu semua jingoisme serantau dan serumpun. Namun sebagai fakta itu tak dapat disangkal. Kami masih rancak berbual tatkala bas menghampir kawasan kota ibu negara Bani Hashim tersebut.
Saya menyentuh tentang pluralisme yang diperjuangkan oleh organisasinya. Dan pluralisme difatwakan tidak Islamik oleh Majlis Ulamak Indonesia. Begitu juga dengan Islam Liberal. "Katanya Ulil-Absar (pemimpin JIL) mahu nyambung belajar ke Amerika," saya bertanya. "Udah. Sekarang di Boston. " Dr. Syafie mengeluh. "Elok dia di luar negara. Sukar kami mempertahankan dia," sambung cendekiawan Jakarta itu. Dan saya turut menyatakan beberapa ketidaksetujuan saya dengan Ulil-Absar.
"Tetapi saya dengar orang kata kamu juga dan IKD dianggap berfaham Islam liberal," Yati menyampuk."
"Saya liberal, bukan Islam liberal," jawab saya tegas.

Thursday, June 15, 2006

Di manakah Zhuge Liang?

Syahwat politik saya mula naik membuak-buak. Salahkah filasuf bergelumang dalam politik? Bukankah Plato belayar ke Syracuse untuk terlibat dalam politik. Pengalaman penglibatan politik Plato pedih sehingga beliau mengambil sikap pesimis kemudiannya. Tetapi Plato bukanlah filasuf yang pertama dan terakhir yang tidak terlawan syahwat politik. Saya terbaca Ibn Sina pada waktu malam menulis al-Shifa dan waktu siang menjadi wazir. Dan Zhuge Liang, seorang Daoist, makanya filasuf juga, adalah otak yang paling gemilang dalam sejarah San Guo. Penglibatan filasuf dalam politik menjadi ilham, kadang kala mengecewakan. Dan ada kala memalukan, lihat sajalah penglibatan Martin Heidegger dalam politik Nazi dan penganiayaannya terhadap rakan-rakan filasuf yang tidak menyokong Nazi.
Umno akan berkerat tiga. Itu yang meransang syahwat politik saya. Perpecahan politik akan membuka ruang kebebasan kerana yang berkuasa akan menjadi lemah. Bila lemah tidak boleh menekan seperti Mahathir menekan. PM sekarang terasa begitu tersepit dengan kritikan mantan PM sehingga terpaksa memanggil gerombolan BN dibelakangnya. Tetapi yang dibelakang Abdullah Badawi juga dengan keris dan tombak masing-masing. Terutamanya tim Najib. Orang nomber dua amat suka orang nombor satu lemah dan asyik membilang masa untuk menjadi orang nomber satu. Sayangnya, bagi orang-orang Najib, ayam sabung mereka tidak ada "telok." Dia tidak akan berani menyeberang Rubicon. Namun orang-orangnya tetap seronok dengan keadaan PM yang tersepit.
Mahathir boleh bikin kacau, maka itu akan terus bikin kacau kepada PM. Dan dia punya dana yang cukup, bahkan berladung, wang-wang rasuah semasa jadi PM, untuk bikin onar bagi PM sekarang. Dia akan guna wang untuk membeli ketua-ketua bahagian untuk mencalunkan beliau semula untuk jawatan presiden Umno. Mustahil? Tidak mustahil. Adakah dia akan menang? Saya rasa tipis. Tetapi cukup untuk membuat Abdullah Badawi untuk tidak tidur malam dan kecing tidak etus. Ini yang disukai oleh Najib. Berlarutnya pertelingkahan antara Badawi dan Mahathir akan menguntungkan Najib. Tetapi tidak sepenuhnya.
Kalau direnung-renung orang ketiga dalam konflik Badawi dan Mahathir bukanlah Najib. Orang ketiga tersebut adalah Anwar Ibrahim. Kembali kita kezaman San Guo. Pergelutan antara Cao Cao, Liu Bei dan Sun Quan. Pergelutan sekarang adalah antara Abdullah Badawi, Mahathir dan Anwar Ibrahim. Tetapi Anwar Ibrahim yang mana satu? kerana kerjaya politiknya panjang dan mempunya pelbagai versi. Anwar Ibrahim 1.0, Anwar Ibrahim 2.0 atau Anwar Ibrahim 3.0? Kalau ini politik San Guo abad ke-21 dimanakah Zhuge Liang?

Kejahilan yang tragis

Salah satu sumbangan besar tamadun Islam kepada tamadun manusia adalah kajian matematik al-Khawarizmi yang bertajuk
al-Kitāb al-muḵtaṣar fī ḥisāb al-ǧabr wa-al-muqābala yang menyelesaikan secara sistematis persoalan persamaan "linear" dan "quadratic." Dia adalah bapa aljebra dan "algorithm" itu berasal dari namanya. Jahil sekali, dan kejahilan yang tragis, bagi mereka yang mendakwa untuk menyelesaian kemelut umat tetapi tidak tahu hubungan antara matematik (yang digelar permaisuri segala ilmu) dengan tamadun. Baca seterusnya dalam Ummahonline.com dalam ruangan Forum Sembang Politik (Konspirasi Zionis) di mana saya bersilat hujah dengan Hibz al-Tahrir.

Tuesday, June 13, 2006

Bola, dan apa dibelakangnya.

Sekali sekali saya berkunjung juga ke Semusin Di Neraka. Blog ini menggunakan bahasa Melayu yang hebat. Isinya selalu mirip kepada anarkis. Pada cita rasa saya. De gustibus non disputandum ! Tetapi wacananya kali ini tentang bola dan hubunganya dengan aliran-aliran politik dan kebudayaan bergetah. Dan bagi kawan-kawan yang belum tahu ada cerita pendedahan "Konspirasi Zionis" di aficionado, saudara kandung blog ini.

Palestin perlukan Zhuge Liang

Bila berbicara tentang Palestin ramai yang diserang sawan emosi. Apabila diserang sawan emosi maka kita tidak dapat berfikir secara jelas. Apabila berdebat tidak mengeluarkan hujah, yang keluar hanya ratib seperti "Khilafah satu-satunya penyelesaian." Ratib ini tidak ubah seperti tingkah laku sang kaldai dalam satira politik George Orwell yang bertajuk Animal Farm. Baca seterusnya di Ummahonline.

Monday, June 12, 2006

Anwar Ibrahim menjawab

"Hikayat Hang Tuah saya anggap sebagai karya epik Melayu penting dan buat menanggapi sikap dan budaya Melayu. Namun ia tetap legenda dan kita tidak wajar terperangkap dalam kerangka pemikiran atau “tempurung” lama." Jawab Anwar Ibrahim kepada seorang penanya. Baca seterusnya dalam Anwar Ibrahim 3.0. Ayuh tembak lagi soalan pada dia. Dia kena jawab kalau betul nak jadi PM keenam.

Sunday, June 11, 2006

Nostalgia komunis


Dizaman reformasi saya bersuaka di Jakarta selama enam sebelum pulang kembali untuk menyertai penubuhan Keadilan. Saya berkelana dari satu kedai buku kesatu kedai buku -- PT Gramedia, Gunung Agung, TIM, 68H. Bahkan di kaki lima gedung parlimen Indonesia juga ada gerai buku. Maka saya saksikan buku-buku Tan Malaka (gambar) muncul kembali bagai cendawan. Buku-buku yang saya cari sebelum itu --Dari Penjara ke Penjdara, Aksi Massa, Madilog -- semuanya terbit kembali. Tan Malaka merupakan tokoh komunis dan nasional yang legendaris.
Apakah Tan Malaka itu Moktarudin Lasso yang mengasaskan PKMM seperti yang didakwa oleh Dominic Putucheary (dalam tesis PhDnya yang belum terbit) dan Ramlah Adam (dalam satu bukunya yang sudah diterbitkan)? Aisyah Ghani menafikannya. Begitu juga sejarahwan Khoo Kay Kim. Tetapi siapakah sebenarnya Moktarudin Lasso? Masakah seorang yang mempunyai buah fikiran untuk menubuhkan parti seperti PKMM boleh hilang tanpa kesan? Prof. Khoo tidak dapat menjawabnya.
Nostalgia kepada tokoh-tokoh komunis juga kembali di Malaysia dengan tokoh-tokoh mereka menulis memoir masing-masing menuntut keadilan sejarah. Satu blog Duri dan Api menggali maklumat gerakan kiri. Perjuangan kiri adalah sebahagian dari sejarah bangsa. Nasib baik perjuangan itu tewas maka Malaya tidak menjadi satu republik komunis atau republik nasionalis kiri seperti yang berlaku di Indonesia dan negara-negara Afrika. Jagoan kiri kita masih belum menjelaskan pendirian mereka terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim-rejim kiri seperti Stalin (30 juta mangsa) dan Mao Zedong (60 juta). Khrushchev mengakui dan mendedahkan jenayah Stalin di kongres ke-10 kongres Parti Komunis Rusia. Tetapi Cina belum mengakui jenayah kemanusiaan Mao. Sejarah perjuangan kemerdekaan kita mungkin memerlukan semakan semula. Namun kita juga harus sedar bahawa kita terselamat dari penderitaan yang dialami oleh ratusan juta manusia yang menikmati kehidupan di dalam 'syurga' komunis.

Friday, June 09, 2006

Depa kata aku tak stabil!

Kawan-kawan tak terujake nak baca perdebatan saya yang makin panas, dan mungkin sedikit ganas, dengan propagandis Hibz al-Tahrir dalam ummahonline.com.
Hibz al-Tahrir berjuang untuk menghapuskan demokrasi. Mereka mahu menggantikannya dengan satu khilafah global. Saya pun godam mereka dengan hujah-hujah sejarah. Depa tak jawab, tapi kata kita tak stabil. Depa guna teknik .... (lupa pula istilah latinnya yang bermaksud serangan peribadi. Apa dia Aqil? aku promote web hang ni!). Pastu depa kata kat kita guna bahasa Arab dan Inggeris plak. Depa ni ngaji kat London atau Mesir agaknya. Kalau nak sindir pakailah bahasa Melayu atau Jawa atau yang sejenisnya. Nak biarkan saja orang nak menghapuskan demokrasi yang kita perjuangkan? Shen Yee Aun, ni shou shenme?

Thursday, June 08, 2006

Ustaz pun dah jadi blogger

Mereka yang berpendidikan agama juga tidak ketinggalan disampuk oleh virus blog. Blog-blog mereka juga tidak kurang hebat. Saya yakin mereka juga akan memperkayakan produksi ilmu dan pengalaman untuk kita kongsi. Sama sama kita beri sokongan dan "sila tunjuk ajar" (ungkapan soap opera Korea yang isteri saya kemaruk tengok) pada asraary

Wednesday, June 07, 2006

Dari pelat ke ufemisme

Feroz, seorang pengunjung baru ke blog ini, mengulas kiriman saya yang bertajuk Eureka. Ulasan beliau saya angkat ke dalam kiriman ini khusus untuk aficionado bahasa Melayu. Begini kalam Feroz:
Alhamdulillah, setelah lama mencari baru berjumpa, rasa teruja kerana ada insan yang masih dan terus memperjuangkan Bahasa Melayu, dan menggunakan bahasa Melayu dengan BETUL !. Saya ada pengalaman dimana seorang berbangsa Inggeris telah datang ke kampung saya di Taiping (sebenarnya beliau sesat jalan), beliau memandu, dan ada 2 orang penumpang,juga berbangsa Inggeris dimana beliau bertujuan untuk makan durian di Selama. Beliau bertanya: "sorry friend, may I ask you ...", sebelum sempat dia bertanya lanjut, terus saya potong percakapannya: "ya, encik hendak kemana" ? ...lalu pelancong itu menjawab: "erm..saya mau ke Salama" ....(dalam hati - boleh pulak mat saleh ni bercakap melayu ...hehehe), jadi, apa pendapat Tuan dalam hal ini ?
Apa pendapat saya? Begini -kita perlu sedaya upaya untuk menggunakan bahasa Melayu di semua tempat dimana wang kertas dan syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara laku. Saya katakan "sedaya upaya" kerana ini bukan kerja sedang. Saya sendiri selalu mengkhianati kalam Melayu bila berdepan dengan orang yang lebih selesa berbahasa Inggeris, meskipun dia tahu Melayu. Tambah pula bila memasuki wacana intelektual, abstrak dan menggunakan konsepsi-konsepsi berat saya sering mengabaikan, bahkan menzalimi bahasa Melayu.
Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini saya lebih spontan dengan Melayu. Semalam bila makan tengahari dengan Lee Khai Loon, seorang aktivis masyarakat madani yang berumur 20an, saya berbual dengannya hampir seratus peratus dalam Melayu. Dia baru sebulan pulang dari Hong Kong. Dua tahun dia menetap di sana mengendalikan sekretariat Persatuan Pelajar Asia. Sekali sekala dia mencari-cari perkataan yang tepat untuk dia sebut. Perkara itu tidak berlaku kalau kami ngobrol dalam Inggeris.
Begitu juga bila saya berbual dengan Chai Chee Fat -- dia nikah semalam dan saya sempat kirim sms 'selamat pengantin baru' -- selalunya kami berbual dalam Melayu. Dia graduan TAR, fasih Melayu dan tulisan Melayunya juga baik. Mata airnya dulu, sekarang isteri, aktivis bahasa Tionghua di USM. Juga bertutur dan menulis Melayu tanpa pelat. Josh Hong, kolumnis Malaysiakini, akan lebih senang kalau saya berbual dalam bahasa Inggeris. Tetapi saya lebih suka berbual menggunakan Melayu dengan dia. Dan dia juga tidak kekok.
Seorang lagi sepet yang saya suka adalah S K Chua. Dia hen hao kan -- sungguh kacak. Budak Perak, graduan UTM dalam kejuruteraan angkasalepas! Tetapi mahu jadi penulis. Dia pernah menjadi wartawan Berita Keadilan yang saya pimpin. Bila dia menulis ada sedikit pelat. Dan saya suka. Kalau saya sunting, amat sedikit. Saya tidak mahu laras atau pelat bahasanya hilang. Bagi saya itu kesahihan dan makna diri tulisannya. Yang pelat juga cantik, kalau tahu melihatnya. Sekarang S K Chua pelajar sarjana di UKM. Saya takut bahasa Melayunya bertambah baik, dan mungkin terlalu baik, macam bahasa Melayu pensyarah-pensyarah Melayu universiti yang penuh dengan ufermisme. Ya Allah, Kau selamatkanlah bahasa ini dari ufemisme!

Sunday, June 04, 2006

Zhuge Liang 2


Dia mendapat gelaran sanjungan sebagai Kongming, seorang jenius. Dizaman mudanya dia mengikut mazhab Dao. Dao bermaksud jalan, tariqah kalau menggunakan istilah kerohanian Islam. Daoisme adalah seperti tasawwuf , bahkan memang tasawwuf dalam tamadun Cina. Sementara Konfucianisme sebagai satu sistem kesusilaan boleh dibandingkan sebagai syariah.
Sebelum keluar dari uzlahnya dan menjadi penasihat dan strategis kepada Liu Bei untuk membangunkan semula kekuasaan dinasti Han Zhuge Liang dikenali di kalangan rakan-rakannya sebagai "naga tidur."
Dari aliran Daoisme beliau mengetahui rahsia alam, tentang perubahan cuaca, perjalanan bintang dan lain-lain kuasa alam yang kemudian digunakan sepenuhnya dalam strategi ketenteraan. "Seorang komandan tentera adalah lemah," jelas Zhuge Liang, "sekiranya tidak mengetahui ilmu perjalanan bintang, jahil tentang topografi, tidak mengetahui isyarat alam, tidak tahu tentang cuaca, atau peta atau perimbangan tenaga."

Thursday, June 01, 2006

Zhuge Liang 1

Seorang anak muda yang suka mendalami ilmu strategi Shen Yee Aun membandingkan Khairy Jamaludin dengan Zhuge Liang (gambar). Apakah perbanding itu tepat?
Zhuge Liang merupakan tokoh besar dan legendaris. Saya tidak berminat untuk berbicara tentang Khairy, sebabnya saya akan jelaskan kemudian. Tetapi perbandingan yang dibuat oleh Shen Yee Aun memberi peluang bagi saya untuk memperkenalkan ketokohan Zhuge Liang di luar masyarakat Cina.
Cina disatukan buat pertama kalinya oleh Qin Shi Huang dalam tahun 221 s.m. Sebelum penyatuan tersebut Cina menjalani waktu yang dipanggil sebagai Zaman Negeri-Negeri Berperang. Setiap negeri berperang untuk meluaskan wilayahnya dengan menakluki negeri-negeri jiran. Tatkala putera Zheng, yang kemudian menjadi maharaja pertama dengan gelaran huangdi, menaiki tahta negeri Qin hanya tinggal enam negeri bersaing kekuatan. Raja Zheng menundukkan semua negeri yang lain dan menelan semuanya menjadi negeri Qin. Qin itulah asal kata kepada Cina. Cara penaklukan itu begitu ganas dan zalim. Dan maharaja pertama itupun memerintah dengan cara kuku besi. Maka apabila beliau mati dinastinya tidak dapat bertahan dan terus runtuh. Berlaku perang saudara sehinggalah disatukan semula di bawah Dinasti Han. Kerana dinasti tersebut memerintah Cina selama 400 tahun ianya dilihat sebagai salah satu pemerintahan teragung dalam sejarah Cina. Kerana itu bangsa Cina memanggil dirinya segang 'orang Han.'
Apabila Dinasti Han runtuh Cina berpecah kepada tiga negeri -- Wei, Shu dan Wu. Ketiga-tiga negeri ini bersaing untuk menjadi hegemon dan seterusnya menyatukan semula Cina. Persaingan dan perang; politik dan diplomasi, pakatan dan pengkhiatan antara tiga negeri ini menjadi bahan kepada novel sejarah San Guo yang diolah oleh Luo Guanzhong lebih seribu tahun kemudian. Zhuge Liang adalah penasihat dan strategis kepada Liu Bei, pemerintah kerajaan Shu, yang berambisi untuk menyatukan semula Cina dan menghidupkan semula kedaulatan keluarga moyangnya iaitu dinasti Han itu sendiri.