Saturday, September 30, 2006

Puisi Shustari*

خرجت في حين بعد الفنا
ومن هنا بقيت بلا انا
ومن انا يا انا الا انا
Kharajtu fi khinin ba’dal fana
Wa min huna baqitu bila ana
Wa man ana ya ana illa ana

Selepas fana, aku keluar
Kekal di situ tanpa aku
Siapa aku, wahai aku, kecuali aku

*Buat renungan selepas tarawikh

Sanggahan bersyahwat

Conradagosy, yang memberikan sanggahan bersyahwat terhadap tulisan saya yang mengkritik pandangan Tun Salleh Abas, mengatakan saya tergagam dengan sanggahannya. Ikuti perdebatan kami dalam Aficionado.

Thursday, September 28, 2006

Rukun liberal*

Rukun liberal empat perkara:

1. Kebebasan

2. Keteraturan spontan

3. Pemerentahan minimal

4. KOOL - komuniti orang-orang liberal

* untuk renungan selepas tarawikh.

Wednesday, September 27, 2006

Teks dan tafsiran

Teks suci adalah laksana pintu. Dan fungsi pintu adalah untuk membolehkan kita masuh ke dalam rumah, mesjid, istana dan apa sahaja bangunan. Pintu juga dihias dengan pelbagai ukiran, pelbagai motif dan bila ukiran itu indah ia mempesonakan, dan menakjubkan akal yang cuba mentafsirkan isyarat dan perlambangan. Namun fungsi pintu adalah tempat untuk kita masuk ke dalam. Maka memahami teks secara zahir semata-mata adalah ibarat menghabiskan masa merenung pintu.
Ibn Abbas suatu hari berkata: "Sekiranya aku tafsirkan kepada kamu ayat .... sebagaimana Rasulullah mentafsirkan kepada aku nescaya kamu sekelian akan memotong leherku." Maka sejak awal lagi masyarakat ilmuan Islam mengetahui bahawa tafsiran sesuatu ayat itu boleh berlapis-lapis. Al-Ghazali mengulas lebih lanjut tentang wujudnya pelbagai lapisan tafsir dalam Mishkat al-Anwar dan sekaligus memberikan tafsir kepada Ayat Cahaya.
Ayat "janganlah kamu menghampiri salat dalam keadaan mabuk" selalunya difahami sebagai ayat yang membawa kepada pengharaman arak secara beringkat. Tetapi dalam tradisi tasauf, khususnya puisi, arak dijadikan perlambangan kepada cinta Ilahi, memabukkan dan "terlarang". Maka ayat tersebut ditafsirkan sebagai bermakna orang yang dalam mabuk cinta Ilahi tidak perlu bersembahyang. Harus diingat, mereka yang benar-benar mabuk, bukan pura-pura mabuk atau berangan-angan ingin mabuk.
Tetapi tafsiran kepada teks suci adalah satu gestalt atau holistik, satu yang coherence dengan keseluruhan world view kitab suci tersebut. Maka apabila saya memahami ungkapan khatam al-anbiya dalam al-Qur'an sebagai pengistiharan bahawa tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad saya yakin pemahaman saya tidak menggugak kedudukan saya sebagai seorang liberal. Liberal tidak bermakna longgar atau tidak berpendirian atau membuat sebagai lesen untuk membuat tafsiran sesuka hati tanpa asas. Liberal juga satu disiplin yang menuntut ketepatan. Tetapi saya juga tidak memahami khatam al-anbiya sebagai semata-mata tidak ada nabi selepas Nabi Muhammad. Konsep itu kaya dan wacananya panjang. Maka ayat tersebut juga satu pintu untuk menuju kepada makna yang lebih mendalam. Apakah makna "khatm" itu, apa hubungan Nabi Muhammad dengan nabi-nabi sebelumnya dan lain-lain. Mengatakan ada nabi selepas Nabi Muhammad bermakna menolak ayat tersebut. Bukan sahaja pintu itu tertutup bahkan pintu itu dan lain-lain pintu untuk memahami al-Qur'an akan hilang. Apabila kita menolak al-Qur'an, al-Qur'an akan menolak kita.

Tuesday, September 26, 2006

Apa yang liberal pada Islam Liberal?

Aqil Fithri berakata: wah, tetapi liberalnya pak khalid tidak autentik --> yang saya perhatikan kadang-kadang berbaur dengan sikap lazim kalangan mereka yang konservatis dan literalis. demikian juga, mengapa pak khalid kelihatannya lebih cenderung untuk memilih-milih sektor dan tema dalam bersikap liberal? nah, jikalah dalam soal aqidah pak khalid enggan pula bersikap liberal, justeru liberalnya pak khalid telah menjadi eksklusif. itukan sudah terpilih-pilih.kemudian, apakah sikap yang awal-awal lagi pak khalid memajukan teks untuk mempertahankan aqidah --> merupakan pencirian seorang liberalis? bukankan itu permainan akrab mereka yang ultra-konservatis?dan juga, bagaimana betahnya pak khalid memakai gelaran liberal, walhal dalam waktu yang sama pak khalid mahu mengorek kembali khazanah-khazanah agama? liberal semacam ini tidak lagi autentik.saya -- sepertinya juga yang pak khalid ungkapkan sebelum ini -- mahu mencari liberal yang autentik. benar-benar autentik. bukannya sebelah liberal, sebelah lagi konservatif. sebab itu, saya fikir jika mahu sintesiskan falsafah-agama-keruhanian, elok fikirkan gelaran neo-tradisionalis. liberal dalam makna kepada kemahuan pak khalid, saya kira tidak tepat!ataukah, fikiran saya yang tersasar?
Jawapan saya: Aqil mungkin terlalu banyak dipengaruhi oleh retorika JIL dan golongan modenis. Dalam wacana mereka liberal adalah lawan kepada sikap konservatif, tertutup dan jumud. Menamakan diri mereka liberal merupakan satu strategi berwacana, iaitu mengambil dan meletakan diri mereka di tanah tinggi moral. Dan strategi ini mereka gunakan kerana prasangka semasa, disedari atau tidak, liberal dilihat sebagai lebih maju dari jumud, konservatif, lebih sukai dari sikap rigid dan lain-lain. Saya mengambil liberal dan liberalisme lebih serius dari sekadar prasangka masyarakat semasa. Apa yang selalu kita jumpa adalah mereka yang mengaku liberal tidak pernah memikirkan secara serius apa itu liberal dan liberalisme. Maka yang sering kita temukan adalah mereka yang mendakwa liberal tanpa berkifir. Pernah saya tanyakan kepada kawan-kawan di Jalan Telawi yang mula ghairah dengan JIL dengan soalan ini: "Apa yang liberal pada Islam Liberal?" Seringkali pemikir-pemikir muslim semasa yang mereka (Islam Liberal) angkat sebagai wira adalah intelektul Marxis seperti Mohammed Arkoun, Hasan Hanafi, Abid Jabiri dan lain-lain. Hanya kemuflisan intelektual saya yang membenarkan kita memanggil mereka sebagai liberal.
Apakah idea-idea asas atau visi liberalisme? Pertama kebebasan individu, kedua keteraturan spontan (spontaneous order) dan ketiga pemerintahan terbatas (limited government). Islam Liberal hanya berpegang kepada satu dari tiga tunggak ini, iaitu kebebasan individu. Tetapi kepercayaan kepada kebebasan individu juga boleh menjadikan sesaorang itu Marxis dan Existantialist. Dan jarak visi kebebasan individu liberalisme dengan visi kebebasan individu Marxis and Existentialist adalah seperti bumi dengan langit. Existentialisme misalnya bermula dengan pendirian bahawa Tuhan itu tidak wujud maka manusia mencipta nilai dan moralnya sendiri. Liberalisme berpendirian, dan berdasarkan pengamatan sejarah manusia, manusia tidak mencipta nilai-nilai moral. Manusia memperolehi nilai-nilai moral dari agama. Tentang dua tunggak yang lain -- keteraturan spontan dan pemerintahan terbatas -- saya belum mendengar ianya diwacanakan oleh kelompok JIL. Dan wacana ini, sepanjang pengetahuan saya, juga tidak wujud dalam tulisan-tulisan Arkoun, Hasan Hanafi, Abid Jabiri dan Fatimah Menerssi (feminis) -- tokoh-tokoh yang banyak mempengaruhi pemikiran tokoh-tokoh JIL. Dan kita tidak akan tercium dengan pemikiran liberal yang sebenar sekadar bergelumang dengan tulisan-tulisan mereka. Saya tidak kata jangan dibaca. Bacalah, tetapi kamu tidak akan menemui pemikiran liberal disana.
JIL bukan satu gerakan pemikiran liberal. Mereka perlu jujur pada diri mereka sendiri dan kita jangan terpedaya dengan pendakwaan diri mereka sebagai liberal. Dan kita juga perlu tahu bahawa gerakan pemikiran liberal bukan gerakan teologi atau metafizik. Dan saya tidak mencari idea teologi, metafizik, strategi berdepan dengan teks mukaddas, persoalan eksklusivisme dan inklusivisme dalam keselamatan, dalam korpus tulisan liberal. Ianya persoalan yang sungguh berlainan.
Dan jangan juga terperanjat bahawa orang liberal yang autentik boleh juga menjadi seorang fundamentalis agama. Dan ini berlaku di negeri liberal yang paling besar, negeri di mana saya sedang menulis posting ini -- Amrika!

Wednesday, September 20, 2006

Matinya JIL

Aqil Fithri menulis: "Teman2, ada bersama saya ketika wawancara ini fathi aris omar yang ketika itu menelaah tentang demokrasi di Utan Kayu. dan, Moqsith ketika sembang2 dalam wawancara ini pernah menyatakan bahawa fikirannya kadang2 sangat berbeza dengan Ulil Abhsar. maka, menyandarkan semua fikiran Moqsith sebagai faham utuh dari JIL bukanlah tindakan yang molek. Moqsith hanya majukan ideanya dari sisi2 peribadi. justeru, dari sini saya yakin dan percaya, bahawa seperti Islam, liberal juga mengalami kerencaman fikiran dari ragam personaliti."

Saya tidak setuju dengan Aqil. Moqsith bukan ahli biasa. Beliau adalah Koordinator JIL. Maka beliau bercakap sebagai juru bicara JIL. Dan belum ada tokoh-tokoh JIL lain yang mengatakan kenyataan fatal Moqsith itu ditolak oleh JIL sebagai sebuah gerakan. Wacana agama adalah wacana serius kerana ia menyangkut keimanan dan matlamat terakhir kehidupan insan. Perakara yang disebut oleh Moqsith bukan persoalan furuk atau ranting atau persoalan yang bersifat zanni (spekulatif). Persoalannya adalah garis pemisah antara Islam dengan kafir. Al-Ghazali menulis sebuah risalah penting yang bertajuk Faisal Tafriqah baina Islam wa zandaqa (Kriteria antara Islam dan kesesatan) antaranya beliau menyebutkan bahawa sesaorang itu kafir apabila ia menuduh Rasulullah berbohong. Rasulullah mengistihar beliau adalah nabi dan rasul terakhir. Maka barang siapa yang mengatakan ada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. maka orang itu menuduh baginda berbohong.
Beriman kepada Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir begitu penting dalam Islam, ia bukan perkara ijtihad atau spekulasi. Dengan mempercayai bahawa ada nabi-nabi yang akan muncul lagi maka JIL bukannya lagi sebuah organisasi Islam. JIL akan terus memanggil dan menjaja dirinya sebagai jaringan Islam liberal, tetapi dari kaca mata umat dakwaan mereka tidak mempunyai sebarang legitimasi dari perspektif Islam.
Tetapi masalahnya JIL juga bukan gerakan liberal. Dalam tulisan-tulisan aktivisnya tidak ada wacana liberal, wacana yang berakar kepada falsafah kebebasan peribadi, politik dan ekonomi yang diasaskan oleh Locke, David Hume, Adam Furguson, Adam Smith yang diperbaharui oleh Hayek, Popper, Berlin, Gellner dan lain-lain.
JIL sedari awalnya bukan liberal. Dan sekarang bukan lagi Islam.
Kawan-kawan yang mengenali saya sebagai seorang liberal mungkin terperanjat dengan sikap saya yang keras. Saya ulangi saya adalah orang liberal. Tetapi aqidah agama bukanlah dalam ruang spekulasi liberalisme. Saya tidak membaca Hayek, atau Popper untuk mengetahui kebenaran mutlak. Dan saya juga belum dijangkiti oleh pemikiran pascamodern yang tidak membedakan antara kebenaran dengan kepalsuan. Kebenaran ada, dan kepalsuan ada.

Thursday, September 14, 2006

Sanggahan pada JIL


Dalam satu wawancara dengan Ummahonline Koordinator Jaringan Islam Liberal (JIL) Abdul Moqsith Ghazali membuat kenyataan berikut: "Ada pandangan bahawa Nabi Muhammad adalah nabi yang terakhir. Tapi saya menganut satu prinsip bahawa pintu kenabian belum ditutup. Kerana di dalam kitab-kitab kuning, bahawa jumlah nabi itu 124,000. Maka, kalau kita kumpul sejumlah nama-nama nabi dalam kitab-kitab suci itu baru berjumlah sekitar 200 orang. Jadi seratus ribu lebih masih belum ditemui sampai sekarang. Masih terbuka peluangnya untuk menjadi nabi-nabi baru. Tentunya di Jawa namanya bukan nabi, mungkin kiyai....Konsep tentang akan munculnya nabi baru itu bukannya fikiran baru. Malah, Ibn ‘Arabi turut memiliki konsep keberlangsungan nubuwwah. Jadi, jelas sekali pintu kenabian masih sebenarnya belum ditutup. "

Pandangan yang mengatakan ada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. adalah sesat. Hujah pertama: Allah swt sendiri mengistiharkan bahawa Nabi Muhammad adalah nabi terakhir. Dalam Surah al-Ahzab ayat 40 Allah berfirman: "Bukanlah Muhammad itu bapa bagi seorang lelaki dikalangan kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi (khatam al-nabiyyin)". Mempercayai ada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w bermakna tidak beriman dengan al-Qur'an.
Hujah kedua: Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mengistiharkan baginda adalah nabi terakhir. Sabda baginda:" anna nubuwwah wa risalah qad inqataat fala nabi ba'di wala rasul -- sesungguhnya nubuwwah dan risalah sudah terputus maka tidak ada nabi dan rasul selepas aku." Hadis ini diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ahmad. Terdapat hadis-hadis lain yang Nabi s.a.w. tegas mengistiharkan baginda adalah nabi terakhir. Mengatakan ada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. bermakna menuduh Rasulullah s.a.w. berdusta.

Hujah ketiga: Mengatakan Ibn Arabi berpendirian wujudnya keberlangsungan nubuwwah adalah fitnah. Sheikh al-Akbar tersebut jelas mengatakan tidak ada nabi dan rasul selepas Nabi Muhammad s.a.w. Dalam bab 310 Futuhat al-Makkiyyah Ibn Arabi menulis: "Syariah telah tetap, dan yang fardhu, wajib, mandub dan mubah dan makruh telah dijelaskan maka terputuslah al-Amr Ilahi (perintah Ilahi) dengan terputusnya nubuwwah dan risalah." Ibn Arabi seterusnya mengutip hadis di atas.

Monday, September 11, 2006

Tahniah


Ingrid Mattson (gambar) baru sahaja dinamakan sebagai presiden Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA). Beliau menjadi wanita pertama menjawat kedudukkan tersebut. ISNA merupakan persatuan Islam tertua dan terbesar di Amerika. Mattson juga bertugas sebagai pengarah kepada Islamic Chaplaincy Program (melatih imam lain-lain pegawai agama) di Hartford Seminary in Connecticut. Mattson melatih "Muslim chaplains" untuk berkhidmat di pelagai institusi Amerika seperti kolej-kolej, penjara, hospital, stesen-stesen polis dan bomba, tentera Amerika, dalam dan luar negera. Mattson di besarkan di Kitchener, Ontario, dan memeluk Islam pada umur 23. Dalam satu perjalanan keretapi yang lama ke British Columbia, Mattson membaca karya almarhum Fazlur Rahman tentang Islam dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran pasca ijazah dalam pengajian Islam. Beliau juga menulis surat kepada Fazlur Rahman untuk belajar di bawah beliau. Prof. Rahman mengundang beliau ke University of Chicago. Galakan beliau mengilhamkan Mattson untuk "memulakan kehidupan kesarjanaan yang saya dapati sungguh memperkayakan," kata beliau dalam biografinya.

Wednesday, September 06, 2006

Wira kita


Sahabat-sahabatku Komrad Tak Bertopeng,

.......... Chin Peng tidak benar. Lai Te (gambar) tidak mati. Dia hanya disangka mati oleh bandit-bandit Parti Komunis Thailand yang membelasahnya, kemudian dicampakkan ke sungai. Dan Chin Peng sendiri tidak melihat mayat pengkhianat nombor satu Parti Komunis Malaya. Lai Te di bawa arus dan diselamatkan. Dan bersembunyi dan kemudian mendaftar nama baru. Orang yang sebelum itu bergelar Lai Te, ....... (dan lain-lain nama sebagai ejen Comintern, Indo Chinese Communist Party, Surete, perisikan Perancis) turun ke selatan untuk membina penghidupan baru di atas debu Perang Dunia Kedua. Dia berkelana dari bandar ke bandar dan berpindah bila merasakan identitinya terhidu. Dia sampai ke Masjid Tanah, membuka kedai membaiki basikal, berkahwin dan beranak, dan budak-budak Melayu yang ke sekolah melalui kedai itu hanya memanggilnya sebagai "Apek." Anak perempuan kesayangannya menjadi pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Masjid Tanah dan kemudian melanjutkan pelajarannya ke Australia dalam bidang perubatan. Anak itu tidak pulang ke Malaysia dan mengajak ayahnya berhijrah ke Perth dimana dia bekerja sebagai pakar mata. Di akhir hanyatnya sang bapa sering bercakap dalam tidur, baik siang mahupun malam. Dan bercakap pelbagai bahasa -- Russia, Perancis, Inggeris, Kontonis, Vietnam. Dia menyebut nama-nama: Lai Te, Chang Hong, Lao Wu, Wong Show Tong, Wong Kim Gyock dan lain-lain. Setelah bapanya meninggal sang anak mula menanyakan dan mencari identiti yang disebutkan oleh ayah di dalam tidur. Dan pencariannya berakhir dengan penemuan yang paling memeranjatkan sejak kemunculan semula Mat Kilau.........

Sahabat-sahabatku Komrad Tak Bertopeng,

Lai Te sebagai wira yang menyelamatkan Malaya dari jatuh ke tangan komunis selepas Jepun tewas tidak dapat disangkal lagi. Ia diterima oleh ahli sejarah yang paling pakar dalam sejarah perjuangan PKM di zaman tersebut. Ia tidak lain dari Cheah Boon Kheng. Beliau menulis dalam Red Star Over Malaya: "In May 1945 Germany unconditionally surrended to the Allied Powers. If Lai Tek was reading the signs he knew that this meant that the whole military might of the Allies would be shifted to defeating Japan. Lai Tek might have calculated that it would be a matter of time before the war was over. If he wanted the MPAJA to seize power, he had to make elaborate preparations. According to one writer, the idea of opposing the British had in fact been canvassed in the closing stage of the war among sections of the MPAJA. In Johore particularly, suggestions have been made that all Force 136 officers attached to MPAJA units should be killed and the forces of reoccupation be presented with the take over of power as a fait accompli. However, nothing came out of this suggestion, apparently Lai Tek vetoed it. Although the MCP had a 1943 programme wich advocated Malayan Democratic Republic as its primary goal after the "Japanese fascists" had been expelled, it appears that it was not Lai Tek who was interested in seizer of power. The idea of a republic had been worked out by members of the prewar CEC before they were eliminated by the Kempetei (kerana pengkhiatan Lai Tek). However, since these policies had geared the communist cadres to a militant struggle for national liberation , there was a likelihood of dissension and conflict inf the party failed to continue with a revolutionary line. The issue came to a head when the Japanese surrender, announced on 15 August 1945, became known to the party.
At a meeting of the Central Executive Committee of the MCP. Liu Yau, chairman of the party Military Affairs Committee, was reported to have suggested that the party carry out a coup d'etat as to present the British with a fait accompli before their return. But he was overruled by Lai Tek who advised against such a move...... While the others in the CEC were keen on the coup d'etat , only Lai Tek was against it. As he held the powers within the party, his voice was decisive." m.s. 95-96.

Rakan-rakan Komrad Tak Bertopeng,
Mengapakah ada yang mahu memperkecilkan peranan pengkhianatan Lai Te terhadap PKM? Mungkinkah bawah sedar mereka terkandung keinginan PKM berkuasa, dan PKM pasti berkuasa kalau tidak pengkhianatan Lai Te yang membunuh hampir kesemua jawatankuasa pusat PKM?

Monday, September 04, 2006

Jangan jadi poyo!

Cowboy....., kalau saya minta saudara terjemahkan tajuk novel Mo Yan Big Breast & Wide Hips (feng ru fei tun) bagaimana saudara akan menterjemahkannya? Apa yang nak saudara katakan bila membaca, dalam esei al-Jahiz, khalifah pertama Abu Bakar mengamuk sambil berkata: "Celaka kau, pergi kau gigit kelentit Lata!" Dan baca Tuhfat al-Nafis kisah Sultan Mahmud (mangkat dijulang) yang sudah mati tetapi zakarnya masih berdiri, dan menteri-menteri istana mengarahkan gundiknya Encik Pong menyetubuhi sultan itu, dan setelah selesai barulah zakarnya rebah! Bagaimana pantun terkenal (saya terlupa pembayangnya):bagaimana hatiku tak geram, melihat tetek menolak baju. Biar saya bacakan mukadimah sebuah kita arab yang saya hafal: Bismillah...alhamdulillah al-lazi jaala lazat al-kubra lil-rijal fi furuj al-nisa'....ustaz dan bukan ustaz Jalan Telah mudah menterjemahkannya.
Lucah? Terpulang, tetapi saya seronok membacanya, walaupun ianya hanya 0.00001 peratus dari bacaan saya.
Ramai yang ingin menjadi serius terus menjadi boring. Tulisannya penuh ufemisme dan sarat dengan pendirian-pendirian kayu (maksud saya tidak anjal). Jadi orang serius sudah tinggi, tidak boleh main-main lagi dan tidak boleh dipermainkan dengan sebarangan. Itu hanya satu kesombongan intelektual yang mentah. Namun saya saya mempertahankan hak mereka yang ingin jadi poyo dan empat persegi. Namun saya juga mempertahankan hak saya untuk menggeletek mat-mat bloger poyo ni. Seronok! Pemimpin tak boleh buat gitu! Siapa kata saya pemimpin? Tidak ada yang melantik dan saya tidak mahu dilantik

Friday, September 01, 2006

Cewek komunis?


Jimadie mungkin boleh menjelaskan beberapa teksbawah gambar ini. Saya di Iowa kala mana kempen sengit Bush-Kerry. Malangnya cewek ini tidak datang ke Iowa City. Kalau datang saya ikut serta. Bukan kerana politik....