Tuesday, November 21, 2006

Hikmah Syok Sendiri

Nampaknya blog saya sudah jadi tempat wacana orang hilang laptop. Tetapi sebenarnya wacana yang lebih menarik, atau yang ingin saya jadikan lebih menarik, adalah tentang hikmah syok sendiri di aficionado.

Friday, November 17, 2006

Blogger keterpelentiran

Seorang penulis miskin mengadu laptopnya kena curi. Dan dia tak mahu halalkan dunia akhirat. Dan lagi dia la-ha-nat-kan si pelentir itu. Janganlah begitu. Ikutlah akhlak Nabi Isa a.s. Kalau sesaorang itu tampar pipi kiri, kasi pipi kanan, kalau dia ambil baju, berikan dia jubah. Cuba renungkan, yang mencuri itu tentu ada masalahnya. Mungkin dia menganggur (kerana Pak Lah tak dapat selesaikan masalah ekonomi.) Mungkin isteri atau anak pelentir itu sakit, atau dia dikejar oleh along. Seperti yang selalu dicakapkan oleh orang assalamualaikum, setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Kenapa tidak husnul zhan, harap dengan pencurian itu manusia itu dapat menyelesaikan masalahnya, dan doakan supaya itulah kali terakhir dia mencuri. Mungkin juga sipencuri itu ingin menulis novelnya, mana tahu dengan laptop curi itu dia kemudian memenganggi Hadiah Nobel kesusasteraan seperti Orhan Pamuk. Atau ingin buat blog dia sendiri. Tetapi penulis miskin ini bagus, laptop dicuri tetapi dia terus update blognya. Tak seperti blogger lain, laptop tak kena curi tetapi blog dah jadi salji.

Thursday, November 16, 2006

Puisi Perang


Puisi besar adalah tentang cinta, tetapi puisi agong adalah tentang perang.

Wednesday, November 15, 2006

Darah Khulafa' 2

Esok harinya Ka'ab al-Akhbar, seorang pendita Yahudi berasal dari Yaman yang telah memeluk Islam, datang kepada Umar al-Khattab dan berkata: "Amirul Mukminin, lantiklah pengganti kamu kerana kamu akan mati tiga hari dari sekarang." Umar bertanya bagaimana dia boleh tahu. " Ka'ab menjawab: "Aku melihatnya dalam kitab Allah azzaj wa jalla, Taurat." Umar berkata: "Demi Allah, benarkah ada Umar bin al-Khattab dalam Taurat?" "Demi Allah tidak, tetapi ada sifat dan gambaran lengkap kamu dan sesunguhnya ajal kamu sudah sampai," kata Ka'ab. Dan Umar tidak merasa dia sakit. Esoknya Ka'ab datang lagi dan berkata: "Amirul Mukminin, satu hari sudah berlalu dan tinggal dua hari lagi." Hari selepasnya dia datang dan berkata: "Dua hari sudah berlaku, tinggal satu hari dan satu malam lagi, iaitu sehingga subuh."

Tuesday, November 14, 2006

Darah Khulafa' 1

Umar al-Khattab, khalifah kedua, mati dibunuh oleh dalam tahun 23 Hijrah. Terdapat laporan yang bercanggahan tentang umur beliau ketika itu. Ada yang mengatakan 55 tahun, laporan-laporan lain mengatakan 53, 60, 61 dan 63 tahun. Beliau dibunuh oleh Abu Lu' Lu'ah al-Nihawani. Dari pada nisbah namanya beliau dipercayai berasal dari Nihawand, Parsi.

Abu Lu' Lu'ah, seorang beragama kristian, adalah hamba kepada al-Mughirah bin Shu'bah, seorang sahabat yang terlibat dalam penaklukan Syria dan Iraq dan pernah dilantik oleh Umar sebagai Gabenor Basrah. Tetapi beliau kemudian disingkirkan atas tuduhan berzina dengan Umm Jamil dan beliau digantikan dengan Abu Musa Ashaari. Al-Mughirah dipanggil pulang ke Madinah untuk dibicarakan dan Umar berkata kepadanya: "Hati kamu kosong, nafsu kamu panjang!" Al-Mughirah bagaimanapun dibebaskan kerana tidak cukup saksi.

Al-Tabari menceritakan pertembungan antara Umar dengan Abu Lu' Luah ketika khalifah tersebut melawat pasar. Hamba itu mengadu: "Amirul Mukminin, tolong aku dari al-Mughirah bin Shu'abah yang banyak mencukai aku." "Berapa banyak dia mencukai kamu?" tanya Umar. "Dua dirham setiap hari." "Apa pekerjaan kamu?" tanya Umar. "Tukang kayu, batu dan besi," jawab Abu Lu' Lu'ah. "Aku fikir cukai itu tidak banyak memandangkan kerja kamu," kata Umar. "Aku dengar kamu mendakwa boleh membuat penggiling yang digerakkan oleh angin," kata Umar dan meminta membuatkan satu untuknya. "Aku pasti akan akan membuatkan kamu penggiling yang jadi buah mulut Timur dan Barat, sekiranya kamu selamat." Umar pulang ke rumahnya sambil berkata: "Hamba ini mengancam aku."

Sunday, November 12, 2006

Siapa Khalid Jaafar?

Dalam persiapan untuk menyambung kiriman "Jasad Umat dan darah Khulafa'" saya membaca satu rencana ilmiah yang agak panjang bertajuk "Mecca and Tamin" oleh M J Kister, satu analisa tentang peranan suku Quraysh membentuk "the commonwealth of Mecca," keteraturan ekonomi di abad ke-6 Jazirah Arab yang menjadikan suku tersebut paling kuat dan dihormati. Ianya melalui sistem kontrak yang bernama ilaf. Ianya bermula dengan Hashim bin Abdul Manaf pergi ke Syria untuk berniaga. Nama sebenar Hashim adalah 'Amr tetapi beliau kemudian digelar Hashim kerana semasa di Syria setiap hari beliau menyembelih kibas dan menyediakan bubur dengan cebisan roti untuk diberikan kepada jiran-jirannya. Hashim bermakna "cebisan rota dalam bubur." Beliau dijemput oleh Kaisar ke istana dan Hashim meminta dari raja itu surat jaminan keselatan bagi pedagang-pedagang Makkah dan barang-barang mereka. Beliau memperolehi surat jaminan tersebut bagi pedagang-pedagang Makkah yang datang berniaga di Syria. Dalam perjalanan pulang Hashim bertemu dengan ketua-ketua kabilah dan memperolehi ilaf dari mereka, iaitu perjanjian keselamatan untuk melalui kawasan kabilah mereka tetapi tidak membawa implikasi sekutu. Dalam rencana yang panjang tersebut saya terbaca ayat yang membuat mata saya terbeliak. Di hujung ayat itu Kister memberikan nota kaki yang menamakan sumbernya iaitu al-Raud al-unuf oleh al-Suhayli, iaitu syarah kepada Sirah Ibn Hisham, dan Bulugh al-arab of 'Aif, is said to have been the first who covered the Ka'ba with brocade (dibaj)...." Jadi kalau melihat kiswah jangan lupa Khalid Jaafar.

Tuesday, November 07, 2006

Jasad Umat & Darah Khulafa' II

Saya ingin menyambung kembali siri kiriman di bawah tajuk di atas. Dalam bahagian pertama, iaitu sebanyak 26 kiriman, berakhir tanpa rumusan dalam April lalu. Saya katakan tanpa rumusan kerana kajian saya terhadap teks-teks terawal masih berjalan. Kiriman-kiriman tersebut adalah tentang peristiwa Saqifah Bani Saadah iaitu peristiwa yang membawa kepada perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Saya akan melompat kepada rentetan peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Uthman bin Affan. Kenapa saya membuat lompatan narratif kepada tragedi tersebut dengan meninggalkan peristiwa-peristiwa penting seperti perang riddah, perlantikan dan pemerintahan Umar al-Khattab sebagai khalifah kedua? Kerana saya ingin mengkontraskan dua krisis umat. Krisis pertama dengan wafatnya Rasulullah s.a.w. Dengan wafatnya Rasulullah wahyu terputus dan masyarakat politik Madinah kehilangan pemimpin. Pintu wahyu tertutup, tetapi pintu sejarah umat baru terbuka, dan sejarah tersebut harus terus berjalan terus tanpa seorang Nabi. Bagaimanakah umat perlu menjalani sejarah duniawinya tanpa Nabi? Bagi saya sejarah para sahabat mendepani krisis ini amat penting kita teliti kerana pada perilaku, pertimbangan, dan pilihan-pilihan yang mereka buat dan ketegangan yang mereka hadapi kita dapat menyaksikan perundingan antara teks dengan sejarah, interaksi antara wahyu dengan akal, kita melihat sempadan wahyu dengan sempadan akal. Dalam perdebatan di Saqifah kita melihat cara penghujahan antara pihak-pihak yang bersaing -- Ansar, Muhajiran, Bani Hasyim -- untuk mengisi kekosongan kepimpinan politik dengan wafatnya Rasulullah. Hikmah politik dan sosial berjaya mengatasi krisis tersebut dengan perlatikan Abu Bakar. Pengamatan terperinci kepada laporan-laporan yang sampai kepada kita boleh membuka kepada penafsiran yang kreatif tentang makna peristiwa tersebut bagi umat hari ini. Pengamatan kepada laporan-laporan tersebut juga memerlukan kesediaan meninggalkan romantisme dan berdepan dengan realiti sejarah. Dan keberanian untuk berdepan dengan realiti sejarah ini lagi menggugat apabila kita mengamati rentetan peristiwa yang membawa kepada tragedi pembunuhan Uthman bin Affan. Umar al-Khattab juga mati dibunuh, tetapi pembunuhan tersebut tidak berpunca dari krisis politik. Ia hanya tindakan individu. Tetapi pembunuhan Uthman adalah berunsur politik dan pihak yang melakukannya melihatnya sebagai penyelesaian kepada krisis politik yang berlarutan.