Monday, April 16, 2007

Ijok 1



Semalam saya ke Ijok untuk melihat ruang akan berlakunya pesta demokrasi terbatas. Ianya pasti satu kurusetre antara BN dan Keadilan. Maka saya teringat kepada bait pertama Bhagavad Gita (mungkin boleh saya terjemahkan sebagai Nyanyian Dewa).

dharmasetre kurusektre
samaveta yuyutsavah

(
medan dharma, medan Kuru,
mereka bertemu untuk bertempur)

Bagaimana untuk menterjemahkan "dharma"? Derma bakti mengambil sebahagian dari makna dharma. Ada yang menterjemahkan sebagai "virtue". Ada yang menterjemahkan sebagai "agama." Saya suka menterjemahkannya dengan "syariah" dalam pengertian yang paling luas.

Dalam perjalan ke Ijok saya terserempak dengan makhluk yang evolusinya belum sampai kepada tahap kita. Apa yang mereka lakukan? Mungkin mereka juga mengadakan ceramah kelompok. Membikin gagasan dan mengkritik gagasan lawan. Apa baiknya calon mereka dan keburukan calon orang lain. Mungkin juga ini ceramah kelompok golongan bebas, taifah yang ketuanya protes tak dapat jadi calon!

Thursday, April 12, 2007

Ragam penterjemah


Allan Bloom mengkritik beberapa terjemahan Politea ke bahasa Inggeris. Sasaran utama beliau adalah terjemahan bebas yang ingin menterjemahkan semangat kepada adi karya Plato tersebut. Penterjemah perlu menterjemahkan secara harfiah. Penterjemahan jangan jadi pentafsir. Pentafsir Republic (itu tajuk terjemahan inggeris yang sebenarnya diterjemahan dari tajuk latin res publica) adalah ahli falsafah. Biarkan filasuf menafsir dan penterjemah sekadar menerjemah. Kritikan pedas Bloom dikhususkan pada The Republic yang diterjemahkan oleh F M Conford. Hasil dari kiritikan Bloom itu saya mulai curiga dengan versi terjemahan Conford yang saya miliki. Tahun lalu R.E. Allen menerbitkan terjemahan beliau sendiri. Sebelum ini beliau telah menerbitkan terjemahan beberapa dialog Plato. Dan terjemahan-terjemahan beliau mendapat sambutan dan dihormati dikalangan sarjana. Dalam pengantarnya kepada terjemahan The Republic Allen mengucapkan terima kasihnya kepada penterjemah-penterjemah The Republic sebelum beliau. Tetapi beliau menyatakan terhutang budinya kepada seorang penterjemah sebelum ini. Pada Allen terjemahan tersebut adalah yang terbaik. Penterjemah itu tidak lain dari F M Conford!

Wednesday, April 11, 2007

Baru nak belajar?


Saya heran dan lagi masyghul mengapa tidak ramai politisi kita bermain blog. Nah Dr. Xavier Jayakumar (berkot) berusaha untuk menamatkan zaman politik non-blognya. Dan disebelahnya adalah Premish CEO Malaysia kini yang sedang mengajar Xavier untuk membuat blog dengan menggunakan Wordpress. Sesi tunjuk dan ajar ini berlaku di warong Starbuck bandara Kucing sambil menunggu pesat untuk ke Kota Kinabalu Sabtu lalu. Saya pula menghabiskan masa membaca komik yang saya beli sebuah kedai buku berhampiran hotel Grand Continental, Kucing. Kerana pesawat lewat sampai habis komik itu saya baca. Dan bukan sebarang komik. Komik biografi seorang kapitalis komunis (????) atau komunis-kapitalis (????) yang bernama Tan Kah Kee!

Sunday, April 01, 2007

Fathi dan Awek Felda

Semalam saya ke Felda Gunung Besout. Pernah dengar tempat tu? 40 minit utara Bukit Beruntung. Masuk Exit Slim River. Mustaqim, penterjemah Fasl al-Maqal, jemput aku dirumah jam 12 tengahari. Eekmal, Anam, Firdaus naik kereta lain. Amar di Padang Besar. Tetapi Amar sendiri mengatakan dia di Syracuse! Syracues? Baca riwayat hidup Plato baru boleh faham isyarat Amar. Dia terjun lubuk politik dan terpilih sebagai naib ketua Angkatan Muda Keadilan bahagian Padang Besar. Dan bahagiannya mencalonkan Ketua Bahagian Parit Sulong a.k.a Hasmi Hashim sebagai Ketua AMK. Nah Hasmi juga ke Felda Gunung Besout. Buat apa kami semua mendaki Gunung Besout yang kewujudannya pertama kali kami ketahui? Apa nak buat, kena daki jugak. Fathi sudah jatuh hati dengan awek gunung. Saya selaku ketua rombongan membuka majlis dengan pantun "dendam semalam", pantun rasmi di majlis-majlis pertunangan dan perkahwinan bujang-bujang (termasuk yang terlajak) Jalan Telawi:
Air dalam bertambah dalam
Hujan di hulu belumlah teduh
Hati dendam bertambah dendam
Dendam semalam belumlah sembuh

Sudah berapa lama Fathi bermain dendam dengan awek ini saya kurang pereksa. Tetapi yang pasti awek felda pun sudah mahal. $6,000. Saya tawar minta kurang. Tak boleh kurang. Isteri saya dari kota kosmopolitan Singapura. Bapanya letak $1,500. Duit Malaysia, bukan Singapura. Tetapi boleh tawar sampai RM1,000.

Orang Felda juga sudah ada cita rasa selebriti. Tarikh keramat pernikahan mereka: 7.7.07.