Sunday, June 29, 2008

Malam yang panjang


Ketika saya bangun pagi Eekmal mengatakan:"Boss sudah ke kedutaan Turki." Saya lega. Tujuh jam pemimpin-pemimpin tertinggi Keadilan bergelut untuk menyakinkan Anwar Ibrahim supaya mengambil tawaran pemerintahan Turki untuk memberikan beliau perlindungan. Bila saya turun dari tingkat 24 Hotel Quality, Shah Alam, ke bilik saya di tingkat 22, Anwar masih dengan diri biasanya -- degil. Rayuan puterinya juga tidak berhasil.
Saya merasakan stress yang luar biasa. Dan ketegangan menyelubungi suite ditingkat 24 yang ditempah oleh IKD sebagai penganjur Seminar Gagasan dan Kebijakan untuk MPT, MP dan Adun Keadilan. Saya sungguh gembira dengan hasil awal seminar. Saya gembira kerana semua peserta terasa akalnya teruja dengan pembentangkan Tay Kheng Soon yang seperti menyalakan lilin dalam kegelapan. Sebelum ini kita mendengar ajakan paradigma, begitu sering didengar sehingga menjadi satu slogan. Tetapi pembentangan Tay, seorang arkitek tersohor dari Singapura, benar-benar satu anjakan paradigma, bukan sahaja sebagai teori tetapi lengkap dengan contoh-contoh khusus. Tetapi pada waktu malam, bila mesyuarat MPT diseparuh jalan, suasana bertukar.
Dalam setiap mesyuarat MPT ada agenda khas di mana Anwar akan memberikan taklimat politik semasa, memimpin perbincangan politik dan membina muafakat. Tetapi agenda perbincangan politik menjadi pendek apabila beliau diberikan maklumat tetang laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bahri. Ini bermakna dia boleh ditahan bila-bila masa untuk tujuan 'siasatan'. Benak saya dan saya kira ramai yang lain dalam bilik mesyuarat bertanya: "Apakah kita akan melalui ini semua sekali lagi, setelah 10 tahun, dan setelah gelombang rakyat 8 Mac?"
Khairy Jamaluddin tentunya mempunyai ingatan yang pendek apabila menjerit "Tidak masuk akal." Semua yang berlaku semasa Anwar dalam tahanan polis September 1998 adalah tidak masuk akal. Dalam kebengongannya untuk berdepan dengan rakyat yang mula marah Khairy melatah: "kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu supaya membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi untuk meraih simpati orang ramai." Malanglah Abdullah Badawi yang mempunyai menantu yang menjadi murid kepada Tun Mahathir. Bukankah Mahathir yang mengatakan kepada dunia Anwar sendiri yang menghantukan kepalanya ke dinding bilik tahanan sehingga lebam matanya untuk meraih simpati? Mungkin juga Khairy ketika itu masih hisap kopek lagi makanya tidak ingat.
Masuk akalkah Rahim Nor sendiri membelah orang yang beberapa minggu sebelumnya adalah timbalan perdana menteri? Tidak masuk akal pada rakyat Malaysia sebelum Rahim Nor sendiri membuat pengakuan. Masuk akalkah peguam V K Lingam punya peranan besar menjadikan Ahmad Fairuz Ketua Hakim Negara Ahmad? Tidak masuk akal sebelum meletupnya tape V K Lingam.
Pada malam yang panjang itu ada suara yang meminta supaya tidak "over react" dengan laporan polis tersebut. Anwar sendiri bukanlah seorang yang mudah panik. Bahkah apabila orang lain sudah semuanya panik, Anwar akan mententeramkan mereka: "Jangan over reack." Sepuluh tahun lalu apabila semua penyokong-penyokongnya sudah yakin Mahathir telah menyediakan rancangan untuk menjatuhkannya dan bertubi-tubi menyampaikan cebisan-cebisan maklumat tentang konspirasi tersebut Anwar menghujah penyokong-penyokongnya: "kamu semua over react." Dalam Perang Dunia Kedua Stalin tidak mempercayai sama sekali Hitler akan menyerang Russia. Apabila perisikan tenteranya menghantara laporan sulit memberikan tarikh tetap serangan Hitler, Stalin memaki dan mencarut orang yang membuat laporan tersebut.
Saya merasakan peristiwa 10 tahun lalu akan berulang. Pasti tidak sama. Saya melihat-lihat mereka yang masuk satu persatu ke suite tingkat 24. Sepuluh tahun lalu mereka adalah rakyat biasa, fanatikus Anwar yang tidak bernama. Sekarang mereka menduduki dewan rakyat atau anggota pimpinan tertinggi sebuah parti politik yang memimpin pakatan baru parti-parti politik. Dan pakatan ini diambang membentuk pemerintahan baru. Azmin Ali, dahulunya hanya pemegang dairi merah tetapi kini ahli parlimen dan ketua wip, berpindah dari satu kumpulan ke satu kumpulan dalam suite yang seperti menjadi bilik operasi. Sebelum naik ke suite itu Azmin membuat diktasi kepada Johari Abdul sms yang akan dihantar keseluruh negara. Pasti tidak sama dengan sepuluh tahu dulu. Tentunya. Musa Hasan ketika itu hanya pegawai penyiasat (IO) kini telah menjadi Ketua Polis Negara. Ghani Patail yang juga terlibat sebagai anggota pasukan pendakwa kini adalah Peguam Negara. Tidak sama, mungkin lebih tragis. Perjalanan ke lokap polis mungkin lebih jauh, dan mungkin tidak sampai ke lokap.
Setiap kali pintu suite tingkat 24 diketuk hati semua berdebar. Mungkin ini masanya beliau diambil sekali lagi. Bila malam bertukar dini hari lobi Hotel Quality semakin sesak. Hishamudin Rais masuk dan memeluk Anwar: "Kau ni Anwar memang suka menyusahkan hidup aku." keduanya ketawa, dan juga mereka yang berhampiran. " Sejak tahun 74 lagi. Baru aku nak rihat, kau buat hal lagi." Semua ketawa lagi. Hanya sebentar. Kemudia bilik kembali stress.
Beberapa orang sibuk menaip kenyataan media. Saya hanya menengok. Berbeda sepuluh tahun lalu, kalau kenyataan media mesti saya menulisnya. Kemudian Anwar mengarahkan kenyataan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Saya menyuruh Eekmal membuatnya. Anwar telah melantik Eekmal sebagai setiausaha akhbar bahagian bahasa Melayu, tetapi hanya mula bertuga I Julai. Eekmal merujuk kepada Yusmadi (Yang Berhormat Balik Pulau) untuk istilah undang-undang. Masa sudah berubah. Anwar sudah ada pembantu-pembantu dari generasi baru. Sim Tze Tzin, sudah menjadi Adun Pantai Jerjak, masih bertugas di pejabat Anwar sebagai koordinator politik. Tetapi pejabat itu juga diimbangan dengan generasi matang dan pensiunan -- Ibrahim Yaakob dan Din Merican. Itulah magis dan magnet pejabat Anwar, menarik mereka untuk memulakan karir hidup seperti (sekarang) Eekmal, Farhas, mereka yang jemu dengan karir lama dan ingin membuka lembaran lalu seperti (dahulunya) Azmin, saya dan lain-lain; dan juga mereka yang ingin memberi makna kepada zaman pensiunan mereka, inilah kategori Ibrahim dan Din. Di luar pejabat itu ada beberap lapis lingkaran penyokong, sedikit saya kenali, dan sebahagian besarnya tidak. Ada yang mahu dikenali, dan sebahagian banyak tidak. Anwar Ibrahim adalah satu institusi. Dan sebagai sebuah bangunan Anwar juga menarik anai-anai. Atau ada anai-anai yang dihantar.
Kalau ada kampung berdekatan, dan tingkap kami buka, kami sudah pasti mendengar ayam berkokok kali kedua. Dini hari mendekati subuh. Perut saya mulai rasa pedih. Saya takut diserang gastrik, sebagaimana berlaku selepas Malam Karyawan II. Saya meminta tolong Eekmal membelikan roti canai. Esok Seminar Gagasan dan Kebijakan perlu diteruskan. Saya turun ke bilik untuk menunggu roti canai. Pemimpin-pemimpin Keadilan, rakan-rakanya masih berusaha menyakinkan Anwar dia perlu pergi ke tempat selamat.

11 comments:

munirah hayati said...

tersayat hati melihat rakaman sidang media wan azizah, dan anak2 anwar yang berdiri di belakang pimpinan PKR.

saya tak pernah meminati atau mengagumi stail kepimpinan Anwar, tetapi saya simpati kepada org yg ditimpa musibah. harap2 rakyat bawahan tidak muncul sebagai mangsa semua drama politik ini. rakyat perlu kerajaan baru, tak kira lah dgn anwar atau tanpa anwar.

wassalam

ariapertama said...

anwar sudah menjadi 'legend yang hidup'. setuju juga dengan munirah..with or without him..reform tetap dan terus reform!

dakit said...

Merujuk kepada laporan polis tu... hanya tarikh dan tempat aje yang dia sebut. Masa kejadian tu berlaku tak pulak dia cerita. Nak jadikan "moving target" macam case yang lepas kot... boleh tukar tarikh suka hati dia aje..

Pak Khalid ada idea ke samada Mat ni pemegang Buku Merah DSAI as claimed by others.. If yes, then all the movement and timing DSAI dia tau... Will see how smart is our police zaman DSAAB.

Kerajaan Rakyat said...

Ya ALLAH Ya Rabb,

Kiranya hamba MU, Anwar bin Ibrahim telah dikhianati dan difitnah melakukan liwat, maka kami mohon pertolongan MU ya ALLAH, selamatkanlah dia dan laknatilah mereka yang menzalimi, mengkhianati dan menfitnah hamba MU, Anwar bin Ibrahim.

Ya ALLAH Ya Rabb, kurniakanlah kepada kami daripada rezeki MU yang halal. Berkatilah kami pada ahli, harta dan keluarga, jauhkanlah kami daripada kejahatan yang didatangkan pada waktu malam dan siang. Dan cukuplah kepada ALLAH sebaik-baik tempat bagi kami memohon, berlindung dan berserah

Selawat dan salam ke atas Penghulu kami Muhamad SWT, keluarga dan sahabat baginda. Dan segala puji bagi ALLAH.

Amin Ya Rabb.

http://www.kerajaanrakyat.com/

Faizal Riduan said...

Sorong tilam tarik tilam,
Duit upah di dalam saku,
Suruh talam dia talam,
Suruh sodomi dia mengaku!

Kita wajar ambil pelajaran dari karya sasterawan Inggeris termashyur, William Shakespeare dalam teater komedi klasik "Twelfth Night" bahawa ekspresi gender boleh dipertontonkan dan diubahsuai tetapi seksualiti adalah kekal.

Dalam kehidupan yang sebenar, kita adalah penonton untuk sebuah drama dengan isu berat sodomi. Kita jangam menjadi sebodoh watak protagonis seperti dalam teater klasik tadi yang mudah terpedaya dengan identiti dan seksualiti manusia. Dalam kes ini ada orang yang berusaha untuk memberikan label 'sodomi', 'liwat', 'main belakang' dan sebagainya sebagai bahasa berlabel untuk membunuh karektor seseorang.

Jika benar dakwaan perlu dibuktikan dan tidak perlu hebahan media seperti ini yang bersifat spekulasi dan boleh menganggu siasatan. Bila ini berlaku berita terarah tentang cerita Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan isu yang sebenar orang yang mendakwa perlu memikul beban pembuktian dan bertanggungjawab atas pertuduhannya.

Jika benar dakwaannya bawalah kemuka pengadilan jika tidak benar pastikan ambil tindakan terhadap pengadu yang menfitnah supaya budaya tidak sihat ini tidak menular dalam masyarakat.

Jelir said...

Semua baik-baik saja mudahan... walau dalam gelisah yang tak terfahamkan.

angahSP said...

salam reformasi..

sayer masih ingat lagi semasa 1998 DSAI penah berucap "jika hari ini hilang seorang anwar, esok lahir 1000 org anwar". tetapi bagi sayer. walaupun akan lahir sejuta org anwar pun, tidak sama dengan DATUK SERI ANWAR IBRAHIM sorang.
teruskan perjuangan..

mrza said...

kita tengok setinggi mana langit bn serendah mana bumi pak lah seluas mana lautan najib... masa akan tiba...

Abdrahim said...

Sdr. Khalid,

Apa yang menimpa DSAI harus dilihat dari sudut yang positif. Sekarang ini terbukti beliau seorang pejuang politik yang cukup digeruni oleh lawan.

Hang Tuah, kalau tidak kerana kehebatannya menjadi Panglima Raja, dia tidak akan difitnah bermukah dengan dayang istana yang akhirnya dimurkai oleh raja dan dijatuhi hukuman bunuh.

Canaan Sodindi Banana, kalau tidak menjadi Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe tidak akan berkomplot memfitnahnya melakukan liwat yang akhirnya menyingkirkannya dari Presiden dan terhumban 10 tahun di penjara.

Keduanya apa yang dilalui oleh Anwar, adalah sebahagian dari proses pengentalan diri, menjadikannya seorang pejuang.


abd rahim kassim

nadzri said...
This post has been removed by a blog administrator.
Komando Akademik said...

salam,

apa pening2 pak khalid. pak khalid suruh anwar bersumpah mubahalah depan pak khalid. abis citer.islam dah tnjuk cara. bnda mudah knp nak di susahkan.

kalo anwar banyak dalih,pak khalid paham2 ler. dan jgn lupa repot kat blog ini.

pak khalid org dekat dia.kami yg jauh ni boleh cadang je la. ada berani,pak khalid??