Wednesday, April 22, 2009

Πολιτεία 1

Pagi tadi saya mula membaca Politeia, yang lebih dikenali dengan nama Republik, karya Plato di bawah bimbingan Dr. Paul Lettink, seorang sarjana klasik berasal dari Belanda. Kira-kira sepuluh tahun lalu saya mengambil tuisyen bahasa Yunani dengan beliau. Ia kemudian terhenti, tetapi saya meneruskan kajian bahasa tersebut secara sendiri. Saya terus membaca Homer dari pelbagai terjemahan Inggeris. Akhir-akhir ini perhatian saya tertumpu kepada dialog-dialog Plato. Penguasaan bahasa Yunani saya tidak cukup kuat untuk membaca Plato dalam bahasa asalnya. Maka saya membaca Plato dari pelbagai terjemahan Inggeris.

Semakin saya membaca Plato semakin kuat dorongan untuk menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Tetapi saya tidak mahu membuat terjemahan dari terjemahan Inggeris. Saya ingin membuatnya terus dari bahasa Yunani. Plato bukan sekadar seorang filasuf besar. Beliau juga seorang penulis agong. Prosanya dalah prosa Yunani yang terbaik. Gaya dan laras bahasanya gemilang. Saya mahu berkongsi apa yang saya baca dengan peminat falsafah dan sastera. Maka saya menghubungi kembali Dr. Lettink untuk membaca Politeia di bawah bimbangan beliau.

Hari ini saya selesai membaca tiga ayat pertama. Begini terjemahannya. Ini adalah terjemahan pertama. Saya akan memperbaikinya dari masa ke masa. Dan saya juga akan membuat komentar untuk memperkenalkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam dialog dan memberikan penjelasan tentang isu yang terlibat.

"Semalam saya (iaitu Sokrates) pergi ke Peiraia bersama Glaukonos putera Aristonos untuk menyembah kepada sang dewi, dan juga untuk menyaksikan pesta yang diperbuat untuk pertama kalinya. Persembahan orang tempatan memang cantik, namun pertunjukan yang dikirimkan oleh orang Trakes tidak kurang menarik. Setelah selesai kami bergerak untuk pulang ke bandar. Polemakus putera Kephalus apabila melihat dari jauh kami bersiap untuk pulang menyuruh abdinya berlari kepada kami meminta kami untuk menanti beliau."